Hamas tidak sentuh sesen dana bina semula Gaza

GAZA: Hamas berikrar tidak akan menyentuh sesen pun dana disalurkan menerusi bantuan antarabangsa bagi membina semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel.

Ketua sayap politik kumpulan itu, Yahya Sinwar, memberi jaminan bantuan terbabit disalurkan secara telus serta tidak berpihak susulan konflik 11 hari yang berakhir dengan gencatan senjata 21 Mei lalu.

“Kami mengalu-alukan mana-mana bantuan antarabangsa atau negara Arab untuk membina semula Gaza.

“Saya memberi jaminan dan komitmen kami tidak menyentuh setiap sen yang disalurkan bagi pembinaan semula dan bantuan kemanusiaan.

“Malah kami tidak pernah mengambil mana-mana wang yang disalurkan sebelum ini,” katanya pada sidang media.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, sebelum ini berkata semua bantuan yang disalurkan akan dipantau rapi supaya dapat memberi faedah kepada rakyat Palestin, bukan Hamas.

Israel pula yang mengenakan sekatan di darat dan maritim ke atas Palestin sejak 2007, mendakwa Hamas menyalahgunakan bantuan antarabangsa yang disalurkan bagi tujuan ketenteraan.

Usaha diplomatik dan gencatan senjata diketuai Mesir sedang dilaksanakan dengan rancangan membina semula Gaza selepas musnah akibat serangan udara Israel.

Konflik terbaru Palestin-Israel berlaku pada 10 Mei lalu selepas Israel melancarkan serangan di kawasan Masjid Al-Aqsa sebelum Hamas bertindak balas dengan melancarkan roket ke arah Israel.

Keganasan di timur Baitulmaqdis berlaku susulan protes selepas rakyat Palestin kemungkinan diusir dari kediaman mereka bagi menempatkan pendatang haram Yahudi.

Serangan udara Israel antara 10 hingga 21 Mei lalu mengakibatkan seramai 254 rakyat Palestin termasuk 66 kanak-kanak terkorban. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.