Hanya 12 jemaah dibenar solat di masjid, surau di Melaka

[email protected]

MELAKA: Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka menetapkan hanya 12 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat di masjid dan surau di negeri ini sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 14 Jun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, berkata ketetapan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Bilangan 1/2021 dipengerusikan Mufti Negeri, Datuk Wira Abd Halim Tawil, malam tadi itu terpakai dalam pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan pengurusan solat jenazah.

Jawatankuasa itu juga, katanya, bersetuju kerja penyelenggaraan dan pembersihan masjid serta surau perlu dijalankan oleh petugas yang ditetapkan saja, manakala aktiviti gotong-royong adalah dilarang.

Beliau berkata, aktiviti selain daripada yang ditetapkan itu adalah tidak dibenarkan untuk dilaksanakan di rumah ibadah berkenaan.

“Pelaksanaan keseluruhan aktiviti di masjid dan surau perlu mengambil kira keperluan penjarakan fizikal dan mengelak unsur 3S iaitu sesak, sempit dan sembang dekat.

“Pentadbiran pegawai masjid yang hadir juga perlu sentiasa menjaga kebersihan diri, terutama tangan, memakai pelitup muka dan kerap menasihati jemaah lain supaya mematuhi garis panduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JAIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Sukri berkata, pemilihan jemaah bagi solat Jumaat diserahkan kepada keputusan jawatankuasa, manakala jemaah yang tidak berpeluang untuk menunaikan solat itu perlu menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.

“Jumlah jemaah yang dibenarkan itu boleh dikurangkan serta-merta jika didapati ‘trend’ jumlah kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat dan arahan berkaitan bilangan jemaah boleh dikeluarkan secara berasingan oleh pentadbiran JAIM dan mengguna pakai garis panduan ini berkaitan perkara lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.