Hari pertama PPV Mega PERSADA lancar

[email protected]

JOHOR BAHRU: Suasana tenang dan terkawal di Pusat Pemberian Vaksin AstraZenecca (PPVAZ) Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) yang dijadikan PPV Mega mulai hari ini sehingga 27 Julai depan.

Tinjauan di PPVAZ PERSADA mendapati petugas termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) dan RELA, sudah bersedia seawal jam 7 pagi bagi memastikan kelancaran trafik selain kedatangan penerima vaksin.

Penutupan beberapa jalan utama di sekitar PPVAZ Mega itu menjadikan laluan trafik lancar sekali gus mengelakkan kesesakan di kawasan berkenaan.

Sebuah khemah ‘gergasi’ turut didirikan di perkarangan PPVAZ Mega PERSADA bagi membolehkan penerima vaksin terutama warga emas yang hadir mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum menunggu giliran sebelum dipanggil masuk ke dalam dewan utama.

Sementara itu, bekas pengetua, Idris Ahmad, 67, dari Peserai, Batu Pahat menjadi penerima vaksin pertama di PPVAZ Mega PERSADA, hari ini.

Beliau yang datang bersama isterinya, Azmah Harun, 64, yang turut menerima vaksin hari ini, selain seorang anak yang menemani mereka.

Katanya, beliau bertolak dari Batu Pahat jam 6.30 pagi tadi sebelum tiba di PPVAZ Mega PERSADA 7.45 pagi tadi.

“Alhamdulillah, segalanya dipermudah dan dilancarkan. Isteri saya dijadualkan disuntik jam 3 petang ini dan saya pagi ini.

“Namun apabila saya memohon pada urusetia supaya isteri dapat disuntik bersama, permohonan itu dibenarkan kerana nama isteri memang sudan didaftarkan untuk menerima vaksin hari ini.

“Suasana di PPVAZ Mega PERSADA juga selesa dan mesra bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas terutama kepada isteri yang perlu menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin mereka.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham dilaporkan berkata, sebanyak 500 penerima vaksin AstraZeneca akan disuntik di tiga PPV Mega di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, bermula hari ini, sebelum jumlah itu dinaikkan kepada 3,000 penerima, dua hari selepas ini.

Program imunisasi kebangsaan kini memasuki fasa kedua bermula sejak 19 April lalu selepas fasa pertama pada 24 Februari lalu diberikan kepada kumpulan petugas barisan hadapan.

Kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma, membabitkan tiga fasa.

Sementara itu, Azmah yang juga penerima vaksin kedua di PPVAZ Mega PERSADA bersyukur kerana selesai menjalani kewajipan menerima vaksin.

Beliau yang juga pesara guru berkata, menjadi tanggungjawab setiap warga Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok supaya negara dapat kembali seperti sebelum ini.

“Saya menerima vaksin sebagai tanggungjawab dan berharap keadaan akan pulih dan wabak COVID-19 akan berjaya dihentikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.