Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

Harimau Pekak Malaysia buat Iran terkedu

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak orang pekak Malaysia mempamerkan aksi meyakinkan apabila berjaya mengikat gergasi Asia, Iran 1-1 pada Pusingan Kelayakan Bola Sepak Orang Pekak Peringkat Asia-Pasifik di Pulau Kish, Iran, semalam.

Saingan Kumpulan A itu menyaksikan skuad negara mengejutkan tuan rumah setelah memperoleh jaringan awal menerusi Muhammed Baihaqi Abdullah pada minit ke-16 sebelum Iran menyamakan kedudukan empat minit kemudian melalui jaringan Ali Zeimalvand.

Menurut laman Facebook Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), skuad negara yang dikenali sebagai Harimau Pekak Malaysia (MDT) memiliki peluang mengatasi Iran namun percubaan kapten pasukan Razilawali A Wahab pada masa kecederaan (minit ke-93) terkena sisi palang gol.

Kejayaan mengikat Iran 1-1 adalah pencapaian terbaik MDT kerana Malaysia tidak pernah mengalahkan Iran sejak 1996 dengan dua aksi sebelum ini menyaksikan skuad negara dibelasah 11-0 pada 2008 di Taiwan dan 2012 di Korea Selatan.

MDT dijadual berdepan Iraq esok bagi melengkapkan saingan peringkat kumpulan A.

Sementara itu, dalam aksi kumpulan B pula, Uzbekistan mengejutkan juara Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia-Pasifik 2018, Korea Selatan 4-0.

Empat pasukan terbaik daripada tujuh pasukan dalam pusingan kelayakan akan layak ke Deaflympic Games di Caxias do Sul, Brazil pada 1 hingga 15 Mei tahun depan. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Exit mobile version