Henti gambarkan migran, pelarian sebagai ancaman, kata SUHAKAM

Jabatan Imigresen baru-baru ini dikritik kerana berkongsi poster anti-Rohingya di akaun Twitternya, yang dianggap mampu mencetuskan kebencian dan keganasan.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengecam beberapa kenyataan baru-baru ini yang menggambarkan migran, pelarian dan pemohon suaka sebagai ancaman keselamatan.

Suruhanjaya itu menggesa kerajaan memberi komitmen untuk tidak menghantar pulang golongan terancam yang mencari perlindungan di Malaysia.

Sebaliknya, mereka boleh ditawarkan peluang mendapat pekerjaan dan pendidikan, kata badan itu.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, Jabatan Imigresen akan melaksanakan operasi berskala besar ketika sekatan pergerakan dilaksanakan bagi menahan migran yang tidak berdokumen, namun kemudian menjelaskan tujuannya adalah untuk memvaksin golongan itu.

Baru-baru ini, jabatan itu turut dikritik kerana berkongsi poster anti-Rohingya di Twitternya, yang dianggap kumpulan hak asasi mampu mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap golongan berkenaan.

Dalam kenyataan, SUHAKAM berkata Malaysia lantang mengecam xenofobia di peringkat antarabangsa, susulan itu pihak berkuasa tidak patut melakukannya terhadap migran di negara ini.

Migran tanpa dokumen, pelarian dan pemohon suaka terdedah kepada eksploitasi, tangkapan dan penahanan akibat ketiadaan status perundangan.

Ini susulan perundangan Malaysia tidak membezakan antara tiga kumpulan itu seterusnya menyebabkan mereka sering disalah anggap sebagai ancaman keselamatan.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.