Iklan raya Memori Aidilfitri BoBoiBoy menyentuh hati

[email protected]

Kuala Lumpur: Iklan Hari Raya terbaru terbitan Monsta berjudul Memori Aidilfitri berjaya menyentuh hati ramai sehingga meraih 2.8 juta tontonan di Youtube dalam tempoh sehari.

Iklan menampilkan watak animasi terkenal BoBoiBoy terbabit disifatkan cukup dalam mesejnya meskipun ceritanya ringkas mengenai nostalgia Aidilfitri.

Menurut Ketua Jenama dan Pemasaran Antarabangsa Monsta, Faiz Zainal Aabidin, pihaknya sangat terharu kerana iklan terbabit nampaknya meninggalkan kesan mendalam buat ramai.

Monsta amat berbesar hati dan tersentuh dengan sokongan yang diberikan pada iklan raya Monsta tahun ini. Ketika iklan raya Monsta Terbaik Raya pada tahun 2019 berjaya menjadi buah mulut ramai, Monsta ingin meneruskan tradisi dengan menyajikan iklan raya yang boleh memberikan perasaan positif kepada para penonton dan peminat. 

“Bertemakan Memori Aidilfitri, kami yakin ia berjaya mencecah 2 juta tontonan dalam masa 24 jam dan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Ia kerana iklan ini secara tidak langsung menyentuh hati dan perasaan mereka.

“Terutama, buat yang sedang membuat persiapan Aidilfitri sambil mengimbau memori indah bersama keluarga dan sanak saudara di musim perayaan bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya.

Monsta sememangnya tidak pernah gagal menerbitkan iklan yang menyentuh hati ramai sebegitu. Iklan Kebenaran Raya terbitannya pada tahun lalu juga berjaya meraih tontonan lebih 8.2 juta di YouTube.

Bagaimanapun, iklan terbaru itu jelas menusuk hati ramai berikutan apabila mengimbau kembali kenangan Aidilfitri BoBoiBoy bersama ibu bapanya yang sudah tiada. Ia mengingatkan semua untuk menghargai setiap masa yang ada bersama orang tersayang.

 

 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.