IMF, Bank Dunia gesa G7 agihkan lebihan vaksin COVID-19

WASHINGTON: Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia menggesa Kumpulan Tujuh negara maju (G7) untuk mengagihkan lebihan vaksin COVID-19 masing-masing.

Proses itu diyakini dapat mempercepatkan program inokulasi di negara membangun dan dunia ketiga manakala pengilang pula boleh meningkatkan pengeluaran mengikut keperluan.

Dalam kenyataan bersama kepada G7, Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva dan Presiden Bank Dunia, David Malpass, turut meminta semua pihak berkaitan bersikap telus.

“Kerajaan, syarikat farmaseutikal dan kumpulan yang terbabit dalam pemerolehan vaksin perlu meningkatkan ketelusan mengenai kontrak, pembiayaan serta penghantaran.

“Mengedarkan vaksin dengan lebih meluas adalah keperluan ekonomi yang mendesak dan juga satu tuntutan moral.

“Pandemik ini tidak akan berakhir sehinggalah setiap orang divaksin, termasuk di negara membangun dan dunia ketiga,” katanya.

Malpass dan Georgieva hari ini memulakan pertemuan dua hari secara langsung dengan pegawai kewangan negara G7, Britain, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jerman, Itali, Perancis dan Jepun, bagi membicakan isu pandemik COVID-19.

Kedua-dua pertubuhan mengalu-alukan rancangan AS untuk mengedarkan 25 juta daripada 80 juta dos vaksin yang dijanjikan Washington untuk dikongsi ke seluruh dunia menjelang akhir bulan ini.

“Ini permulaan yang baik, dan saya berharap lebih banyak dos disediakan, terutama untuk negara dengan program inokulasi yang bergerak perlahan,” kata Malpass.

Naib Presiden Pembangunan Manusia Bank Dunia, Mamta Murthi, berkata walaupun kira-kira separuh penduduk di AS sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, ada negara membangun masih mencatatkan angka peratusan satu digit.

Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) minggu ini meluluskan rancangan IMF membabitkan AS$50 bilion (RM20.6 bilion) untuk mengakhiri pandemik dengan memperluas akses vaksin.

Malpass dan Georgieva berkata vaksin harus diedar secepat mungkin secara telus dan negara membangun perlu menyelaras rancangan pengedaran yang berkesan.

Mereka juga meminta dorongan lebih besar untuk meningkatkan ketelusan mengenai kontrak, pilihan, dan perjanjian vaksin; perjanjian pembelian dan penghantaran vaksin; dos yang dihantar serta rancangan penghantaran masa depan.

Murthi berkata, Bank Dunia menerbitkan data mengenai AS$2.4 (RM9.9 bilion) yang digunakan untuk membantu 25 negara membangun membeli vaksin.

“Justeru, kami turut mendesak bank multilateral lain untuk melakukan perkara sama bagi meningkatkan perancangan dan penyampaian bantuan bersasar secara lebih berkesan.

“Ia umpama orang buta dan gajah… tidak siapa yang tahu apa kapasiti di luar sana, berapa banyak yang sudah diedarkan dan kepada siapa, berapa baki yang boleh ditempah lagi, bila boleh dihantar dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, adalah sangat penting untuk memastikan negara yang menerima vaksin mempunyai logistik untuk menguruskannya, tidak seperti Malawi yang terpaksa memusnahkan sejumlah dos yang hampir mencapai tarikh luput. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.