Impak cerita segar

[email protected]

DRAMA premium di bawah jenama Astro Originals, Projek: Anchor SPM yang diinspirasikan daripada kisah yang tidak pernah diketengahkan di Malaysia mencipta gelombang fenomena tersendiri apabila menerima sambutan hangat daripada penonton.

Ia turut mencetuskan impak baharu buat landskap industri seni tempatan. Sekali gus menyaksikan anjakan paradigma buat Astro untuk terus menyajikan kandungan terbaik dan menawarkan pengalaman tontonan yang cukup optimum buat semua pelanggannya.

Projek: Anchor SPM yang melabuhkan tirai tayangan pada 3 Mei lalu, merekodkan kesan positif apabila jumlah tontonan atau ‘rating’ yang dicatatkan di platform medium digital dan perkhidmatan kandungan over-the-top atau (OTT) termasuk Astro GO, NJOI dan On Demand dilihat sangat memberansangkan.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro sentiasa memastikan kandungan yang dipersembahkan boleh memberi kepuasan kepada penonton.

“Sebagai pemain industri utama, kami akan terus memastikan kandungan yang dipersembahkan boleh memberi kepuasan kepada penonton serta mampu mencetuskan revolusi dalam industri seni lalu mengangkatnya ke tahap lebih tinggi, setanding dengan karya antarabangsa.

“Kami berasa sangat gembira melihat momentum positif dan sokongan padu daripada penonton terhadap Projek: Anchor SPM. Meskipun ini adalah kali pertama genre ‘coming-of-age’ diperkenalkan kepada penonton Malaysia, namun penerimaannya terbukti dengan maklum balas di media sosial yang mana siri ini dianggap sebagai satu tanda aras baharu drama di Malaysia.

“Ia sejajar matlamat Astro Originals diwujudkan bagi mengangkat karya yang melangkaui kebiasaan. Tambah menarik, bukan sahaja berjaya menarik penonton drama tempatan di televisyen, tetapi turut menerima pujian daripada golongan muda, sekali gus mewujudkan kelompok sasaran baharu daripada generasi milenium untuk menghargai serta mempercayai bahawa karya tempatan juga setanding dengan antarabangsa,” katanya.

Menurut Raja Jastina, sambutan hebat itu mendorong pihaknya untuk terus menghasilkan karya bermutu.

“Ia turut tular di platform media sosial setiap minggu ia bersiaran. Dengan sambutan yang amat memberangsangkan, ia menjadi inspirasi buat kami untuk terus bertindak progresif dalam menghasilkan lebih banyak kandungan bermutu, jalan cerita segar dan lebih penting mempersembahkan karya penuh inspirasi buat masyarakat Malaysia.”

“Kami juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada bakat kreatif dari pelbagai latar seperti pengarah disegani, Mamat Khalid, Razaiysam Rashid, Jason Chong serta generasi baharu seperti Syahmi Sazli yang bermula sebagai Youtubers dan kini dilihat mempunyai potensi besar dalam menghasilkan kandungan hebat kerana meletakkan kepercayaan untuk bekerjasama dan memilih Astro sebagai platform untuk berkongsi idea dan bakat mereka.

“Terima kasih juga kepada pasukan ‘in-house Astro writers room’ yang diterajui oleh Anwari Ashraf, Alfie Palermo, Kyle Goonting kerana komited dalam memartabatkan kandungan tempatan dan menghasilkan kandungan segar, unik serta melangkaui kebiasaan yang mampu menepati cita rasa penonton Malaysia dan serantau. Nantikan sebuah lagi drama premium di bawah jenama Astro Originals, Dukun Diva bakal menyusul tidak lama lagi,” katanya.

Uniknya, setiap minggu drama premium ini ‘trending’ di platform media sosial Twitter sejak episode pertama hingga episod akhir ditayangkan di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD) setiap hari Isnin, jam 9.00 malam.

Malah, di platform TikTok sahaja lebih 112.2 juta tontonan menerusi #Projek:Anchor SPM.

Topik yang tular juga berbeza mengikut konflik drama yang dipersembahkan dalam setiap episod. Daya tarikan utama yang menjadi bualan penonton adalah kualiti jalan cerita yang segar, kesan sinematografi dan skrip dialog yang meninggalkan impak.

Maklum balas itu turut mengubah persepsi penonton yang pada awalnya mempertikaikan dan mengkritik Projek: Anchor SPM meniru filem Bad Genius

dan akhirnya jatuh cinta serta berbangga dengan adanya drama sebegini dalam negara.

Pengkritik bebas filem juga bersetuju siri ini mempunyai perbezaan serta keunikan tersendiri dan merasakan drama itu adalah antara rujukan terbaik buat pengkarya tanah air.

Siri ini dibintangi Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Nadhir Nasar, Shasha Abedul, Chubb-E dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.