Impian blok bebas mula mendapat tempat walaupun sukar

Penyokong blok bebas berkata, mereka berharap untuk bertanding di 105-115 kerusi Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Ahli politik tanpa parti, aktivis dan tokoh terkenal mungkin akan melakar masa depan negara jika rancangan sukar melibatkan calon bebas dalam pilihan raya umum akan datang menjadi kenyataan.

Bagaimanapun pemerhati politik ragu sama ada rancangan itu akan tercapai.

Pelan berhubung blok bebas dibuat oleh beberapa orang tokoh terkemuka yang percaya langkah ke hadapan ialah untuk Ahli Parlimen bebas yang berfikiran sama membentuk majoriti di Dewan Rakyat, sekali gus menubuhkan sebuah “kerajaan rakyat untuk rakyat”, bukannya cabang eksekutif yang cenderung kepada politik naungan.

“Idea itu mendapat sambutan dalam kalangan tertentu, terutama sekali dengan meluasnya anggapan bahawa orang ramai kini bosan terhadap ahli politik dan keputusan pilihan raya akan datang bakal berpihak kepada calon bebas kerana ‘tiga parti utama’ dijangka bertembung,” kata seorang pemerhati politik yang maklum tentang perkembangan itu.

Pemerhati tersebut, yang rapat dengan kelompok yang memajukan pelan itu berkata, mereka mengunjurkan sasaran “realistik” untuk bertanding di 105-115 daripada 122 kerusi Dewan Rakyat.

“Mereka telah menemui sebilangan individu yang menyokong idea itu kerana ia kelihatan munasabah, iaitu penubuhan kerajaan yang tidak terikat dengan orang kuat parti atau bergantung pada rakan kongsi pelik bagi mencukupkan bilangan sokongan,” kata permerhati tersebut.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, idea Ahli Parlimen tidak berpihak menubuhkan kerajaan kelihatan ideal, tetapi tidak realistik, paling tidak pada masa ini.

“Saya fikir usaha itu timbul kerana rasa terdesak sesetengah orang yang tidak sesuai dengan mana-mana parti yang ada dan berdepan masalah untuk mendaftarkan parti sendiri.

Realitinya rakyat Malaysia umumnya masih memilih parti, bukannya calon bebas,” katanya.

Azmi, yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia berkata, tidak ramai individu yang mampu bertanding sebagai calon bebas dan menang.

“Individu begini mendapat sokongan kuat di kawasan mereka sendiri dan dilihat lebih besar daripada parti.

“Anda bercakap tentang individu seperti Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Najib Razak. Pemimpin begini.”

Antara halangan utama kepada calon bebas ialah ketiadaan jentera yang berkesan, tanggapan bahawa tidak banyak yang boleh mereka lakukan di kawasan yang ditandingi serta persoalan mengenai pemimpin negara yang kekal tidak berjawab.

“Jadi saya fikir sukar bagi sesiapa pun untuk mencapainya. Saya juga fikir cakap-cakap mengenainya hanyalah cakap-cakap.

“Mungkin ada yang menyokong idea itu kerana ia kelihatan progresif, tetapi sama ada mereka bersedia menolak untuk bertanding atas tiket parti adalah suatu perkara lain sama sekali,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.