KAHERAH: Pegawai Israel dan Mesir berunding semalam bagi memperkasakan gencatan senjata dipelopori Kaherah bagi mengakhiri konflik antara regim zionis dan pejuang Hamas di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertemu dengan Ketua Perisikan Mesir, Abbas Kamel, di Tebing Barat untuk membincangkan usaha ‘memperkukuh kerjasama’ antara mereka, kata pejabat Netanyahu.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, menugaskan Kamel dan delegasinya mengunjungi wilayah Palestin bagi merundingkan perjanjian gencatan senjata kekal, menurut pegawai kanan keselamatan Mesir.
Pada hari yang sama, Menteri Luar Israel, Gabi Ashkenazi, membuat lawatan rasmi pertama diplomat tertinggi Israel ke Mesir sejak 13 tahun lalu, untuk berbincang dengan rakan sejawatnya, Sameh Shoukry.
Ashkenazi, menerusi ciapan di Twitter, memaklumkan perbincangan tertumpu kepada gencatan senjata kekal dengan Hamas, mekanisme bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza dengan peranan utama dimainkan masyarakat antarabangsa.
Beliau kemudian meminta usaha menghentikan elemen ekstremis yang mengancam kestabilan wilayah serta usaha mendapatkan semula tahanan Israel di bawah Hamas.
Kementerian Luar Mesir, menerusi ciapan Twitter, menjelaskan rundingan menteri itu sebahagian usaha negaranya menghidupkan kembali jalan damai dan mengekalkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, juga dijangka tiba di Kaherah untuk mengadakan perbincangan, menurut pegawai kanan keselamatan Mesir, tanpa memberikan keterangan lanjut.
Mesir memainkan peranan penting dalam menjayakan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, sekali gus mengakhiri pertempuran selama 11 hari.
Serangan Israel ke atas Gaza mengorbankan 254 rakyat Palestin termasuk 66 kanak-kanak, kata pegawai kesihatan.
Roket dan tembakan dari Gaza pula meragut 12 nyawa di Israel, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang remaja Arab-Israel, kata pakar perubatan.
Al-Sisi juga menugaskan Kamel membantu menyelesaikan perpecahan politik antara Hamas di Gaza dan Fatah di Tebing Barat yang dikuasai Israel, menurut pegawai Mesir.
Kamel juga bertemu Presiden Palestin, Mahmud Abbas, di Ramallah semalam, menurut media rasmi Palestin.
Mereka membincangkan perkembangan terkini berkaitan gencatan senjata dan pembangunan semula Gaza serta dialog nasional Palestin, kata agensi berita Wafa. – AFP.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian