Isu SMK Convent Bukit Nanas selesai

[email protected]

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang yang diambil pengelola Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (SMKCBN), Lady Superior of the Society of Saint Maur (Lady Superior) bagi mengekalkan lokasi sekolah itu di Jalan Bukit Nanas akhirnya selesai.

Peguam Damien Chan yang mewakili sekolah berkenaan ketika dihubungi media berkata, penyelesaian itu dicapai selepas kerajaan memanjangkan tempoh pegangan pajakan selama 60 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima surat daripada Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan membabitkan hal itu, kelmarin.

“Berdasarkan perkembangan terbaharu, kami memfailkan notis untuk tidak meneruskan prosiding semakan kehakiman,” katanya.

Pada 7 April lalu, Lady Superior selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan selaku responden selepas pajakan mereka yang akan berakhir 6 September ini tidak diperbaharui.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin, pada 19 April lalu memberi kebenaran kepada Lady Superior untuk memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan itu.

Dalam afidavit yang difailkan, sekolah terbabit memfailkan semakan, antara lainnya dengan alasan keputusan kerajaan tidak memperbaharui pajakan berkenaan melanggar hak kebebasan asasi dan hak mendapat pendidikan.

Sehubungan itu, sekolah terbabit antara lain memohon satu perintah certiorari membatalkan keputusan Pejabat Tanah dan Galian untuk tidak memanjangkan tempoh pajakan.

Bagaimanapun, pada 22 April lalu, kerajaan bersetuju tempoh pegangan pajakan tanah tapak sekolah itu yang akan tamat pada 6 September 2021 dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.