Jabatan Integriti Polis siasat penglibatan pegawai kanan negeri dengan individu mencurigakan

Zamri Yahya berkata, tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai kanan tinggi itu jika siasatan mendapati beliau terbabit dengan individu mencurigakan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan tinggi polis di sebuah negeri akan menjurus kepada perlakuan dan penglibatannya dengan individu mencurigakan.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Zamri Yahya, berkata pihaknya akan menyiasat kemungkinan pegawai kanan tinggi polis itu terbabit daripada segi pergaulan dengan orang tidak diingini seperti mereka yang terlibat dengan aktiviti perjudian dan penyeludupan.

“Ada banyak aduan yang diterima oleh pihak kami mengenai penglibatan beliau dengan individu dengan latar belakang yang meragukan contohnya penglibatan judi dan sebagainya di negeri itu.

“Setakat ini kami memantau dari jauh disebabkan keadaan negara yang dilanda Covid-19 dan menyerahkan siasatan kepada polis di negeri itu. Jika terdapat keperluan kami akan hantar pegawai penyiasat dari Bukit Aman untuk siasatan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa pada hari pertama Aidilfitri hari ini meninjau anggota yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kota Damansara.

Zamri berkata, hasil siasatan akan dikemukakan dahulu kepada Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani untuk arahan lanjut.

“Setakat ini tiada tindakan lagi, bagaimanapun jika terbukti penglibatan beliau dengan dakwaan itu, tindakan tatatertib seperti merehatkan beliau daripada tugasan akan diambil,” katanya.

Baru-baru ini, satu perkongsian mengenai pegawai kanan tinggi itu tular menerusi Facebook yang mendakwa pegawai berkenaan menjadi pelindung utama sindiket perjudian, penyeludupan, dan kongsi gelap di negeri berkenaan.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.