Jadikan vaksin wajib untuk semua, saran Siti Hasmah

Dr Siti Hasmah Ali menasihatkan rakyat supaya tidak termakan dakyah palsu berhubung vaksin Covid-19.

PETALING JAYA: Dr Siti Hasmah Ali mencadangkan kerajaan mewajibkan vaksinasi kepada setiap individu di negara ini untuk mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera, ketika jumlah jangkitan harian melebihi 7,000 kes hari ini.

Isteri bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad itu turut menyeru orang ramai menyedari bahaya virus Covid-19 yang menular sejak awal tahun lalu dan tidak termakan dakyah palsu berhubung vaksin.

“Ada segelintir orang menyampaikan dakyah palsu berkenaan vaksin. Ini semua tidak benar. Kita perlu percaya kepada sains.

“Penyakit ini bukan cerita palsu, sedarlah Covid-19 ini nyata. Ambillah vaksin demi keselamatan kita semua,” katanya dalam temu bual khas bersama Astro Awani.

Beliau turut mencadangkan program vaksinasi negara ditambah baik dengan menyediakan perkhidmatan vaksin dari kampung ke kampung.

Bagi individu yang gagal menghadiri janji temu vaksin, beliau menasihatakn mereka supaya memaklumkan pusat pemberian vaksin dengan segera.

“Terdapat juga mereka yang telah daftar, tetapi tidak hadir ke pusat vaksin. Ini sangatlah mengecewakan. Ada laporan katakan sehingga 10,000 orang tidak hadir temu janji. Kenapa ini berlaku?” soalnya sambil menasihatkan orang ramai, terutama warga emas supaya tidak takut mengambil vaksin.

“Jangan takut divaksin, saya dan suami saya sudah ambil vaksin sebanyak dua dos. Alhamdulillah, tidak ada perkara pelik berlaku,” katanya yang kini berusia 94 tahun.

Beliau berkata, masyarakat awam memerlukan perlindungan dengan mengambil vaksin dan pada masa sama mengurangkan jumlah jangkitan serta kematian.

“Ini bukan teori konspirasi, ini kebenaran dan hakikat yang perlu diambil pedoman. Kita berada dalam krisis kesihatan, nyawa setiap daripada kita sangat berharga.”

Kementerian Kesihatan melaporkan 7,289 kes baharu Covid-19 hari ini, kali pertama jangkitan harian melepasi 7,000 kes sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

Rekod sebelum ini ialah 6,976 kes yang dicatatkan 23 Mei lalu.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.