Jangan alpa walau sehari – Dr Noor Hisham

[email protected]

PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya tidak alpa dengan penurunan kes harian COVID-19 kerana situasi penularan virus di Malaysia masih kekal pada situasi sangat serius.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital terutamanya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampung kes COVID-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan sekiranya masyarakat alpa walaupun sehari ia akan memberi kesan.

Katanya, situasi kini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa.

“Kadar penggunaan katil COVID-19 di wad ICU kini meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei lalu kepada 104 peratus yang dicatatkan pada Ahad lalu.

“Penggunaan katil di wad ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan kerana semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal kini ditempatkan di dalam wad berkenaan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hospital di seluruh negara kini sedang berhadapan dengan peningkatan kes COVID-19 yang bergejala serius iaitu kategori 4 dan 5 serta memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

“Pesakit yang dinyatakan ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19.

“Statistik yang diterima menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori 4 adalah antara 14 ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan adalah selama 19 ke 26 hari,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kadar penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 bukan di ICU dalam tempoh dua minggu ini menunjukkan sedikit penurunan iaitu hanya 89 peratus berbanding sebelum ini sebanyak 99 peratus, manakala kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) adalah sebanyak 54 peratus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.