‘Jangan harap kerja penggambaran lagi’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor berpendapat keputusan melakukan ‘total lockdown’ seharusnya dilakukan segera.

Apabila kerajaan memutuskan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa ini, Khir menyambut keputusan itu dengan berlapang dada.

Bagaimanapun, Khir berkata, masih ada yang kurang bersetuju dengan pelaksanaan ‘total lockdown’, namun kadar jangkitan COVID-19 sudah melepasi angka lebih 9,000, hari ini.

“Pada tahap sekarang, soal nyawa perlu menjadi keutamaan. Inilah masanya warga penggiat seni berfikir di luar kotak fikiran bagi mencari sumber lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Warga penggiat seni, muhasabah diri, dekatkan dengan Allah, banyakkan masa bersama keluarga dan berhubung dengan teman lain ketika ‘total lockdown’ ini.

“Buat perancang lain, jangan fikir industri seni sahaja. Banyak kerja boleh dilakukan untuk menjana pendapatan termasuk perniagaan makanan, khidmat pengangkutan, penternakan, pertanian, hiasan dalaman, sistem siar raya dan pelbagai lagi.

“Kita kena jadi kreatif pada saat ini. Hentikan seketika kerja penggambaran, lagi pun, saya lihat kualiti produk dihasilkan disifatkan asal boleh. Ramai mendapat dana atau geran kerajaan, bukannya keluar duit poket sendiri, jadi penerbitan dihasilkan asalkan ada suara dan gambar. Itulah wajah sebenar produk seni zaman pandemik ini,” katanya secara jujur kepada BH Online.

Katanya, warga penggiat seni sama sahaja dengan golongan lain.

“Golongan bergaji tetap tetap pun perlu melaburkan duit untuk pelbagai perbelanjaan. Apatah lagi, tidak bergaji tetap seperti warga penggiat seni. Kita semua ada komitmen dan keperluan, setiap bulan.

“Cuma jangan terlalu berharap kepada sesiapa dalam situasi getir ini. Zaman darurat pernah dilalui sebelum ini, inikan pula ‘total lockdown’. Sebelum ini, pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilalui.

“Memang pada akhirnya kerja tidak boleh dilaksanakan dan terbantut. Cuma, kali ini, fokus kepada kesihatan dan nyawa. Ramai korban disebabkan COVID-19. Namun, belum ada yang mati sebab tiada kerja dan wang.

“Jadi usahlah berfikir soal duit semata-mata. Ingat, nyawa tiada galang ganti,” katanya.

Bagaimanapun, Khir berkata, dia sedar ada warga penggiat seni terutama kru balik tabir hidup ibarat kais pagi, makan pagi.

“Dalam hal ini, kita kena beringat. Jika boleh berjimat dan punya tabungan, buat sedemikian. Kita tidak boleh jangka bila

waktu susah, ia datang pada bila-bila masa.

“Jika ada yang bekerja mencari rezeki selama tujuh hingga lapan bulan, kekal berjimat serta beringat, mungkin tiada masalah meneruskan hidup dalam serba sederhana.

“Bagi kru, saya tahu pendapatan mereka tidak setinggi pelakon. Wang tunai barangkali cukup menampung perbelanjaan selama beberapa bulan. Selebihnya, menjelaskan hutang tertunggak hingga mendapat tawaran kerja baharu.

“Jadi, bersabarlah dengan ujian ini. Bukan kita sahaja, seluruh dunia berdepan dengan krisis ekonomi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.