PETALING JAYA: Dua pakar kesihatan awam menggesa pihak berkuasa memanfaatkan kelebihan ujian Covid-19 yang berbeza bagi memaksimumkan kejayaan mengehadkan jangkitan.
Mereka merujuk kepada kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet yang menyebut bahawa terlalu bergantung pada ujian PCR bagi mengesan Covid-19 mungkin bukan strategi berkesan untuk memerangi wabak itu.
PCR adalah singkatan bagi “polymerase chain reaction”. Ujian PCR amat sensitif dan tepat dalam mengesan Covid-19. Ia boleh mengesan saki-baki virus beberapa minggu selepas pesakit disahkan sihat dan tidak lagi boleh menjangkiti.
Mengakui bahawa kajian menunjukkan pesakit biasanya hanya boleh menjangkiti selama empat hingga lapan hari, pakar terbabit memberitahu FMT, ujian pantas yang mungkin kurang sensitif, tetapi lebih berkesan dalam mengesan individu yang boleh menjangkiti boleh dijadikan alat berkesan bagi menyekat jangkitan.
Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, profesor kesihatan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, penggunaan ujian pantas mungkin lebih sesuai bagi pendekatan saringan massa kerana kepantasan dan kemampuannya mengesan individu dalam tempoh kebolehjangkitan mereka.
Ujian PCR lebih ideal untuk tujuan pengesahan, tambahnya.
“Dari sudut kesihatan awam,” katanya, “menyaring mereka yang boleh menjangkiti adalah penting bagi mengesan, mengasing, merawat dan membenarkan mereka menyertai semula masyarakat selepas disahkan sihat.
“Saya cadangkan penggunaan ujian RTK-Ag untuk saringan dan selepas itu guna ujian PCR hanya dalam kes tertentu.
“Jika ujian pantas seseorang itu negatif, tetapi menunjukkan gejala, anda guna ujian PCR bagi mengesahkan sama ada ia negatif palsu. Jika ujian seseorang itu negatif, anda guna ujian PCR untuk mengesahkannya.”
Beliau berkata, “ujian pantas adalah langkah yang harus diambil” untuk menyaring kumpulan lebih besar dengan segera dan meminimumkan jangkitan.
Pakar kesihatan awam yang juga merupakan felo di beberapa institusi Dr Khor Swee Kheng berkata, harus ada keseimbangan dalam penggunaan ujian RTK-Ag dan PCR.
“Terlalu bergantung pada salah satu daripadanya mungkin berbahaya,” katanya.
“Sebagai strategi ujian, Malaysia harus menggunakan kedua-duanya, iaitu dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing bagi mengimbangkan kelemahan kedua-duanya.”
Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)