JAWI keluar ketetapan baharu aktiviti masjid, sambutan hari raya di WP

[email protected]

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan ketetapan baharu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung aktiviti di masjid dan surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata solat Jumaat, solat fardu, solat sunat Tarawih dan solat sunat Aidilfitri di Kuala Lumpur yang dikenakan PKP, dibenarkan mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter serta dilaksanakan di masjid kariah atau surau masing-masing sahaja.

“Aktiviti qiamullail dibenarkan sehingga 100 orang bermula jam 5 pagi dengan penjarakan fizikal 1.5 meter. Tadarus al-Quran dan majlis khatam al-Quran secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama, juga dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Takbir hari raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa dan pegawai masjid sahaja sehingga jam 10 malam,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Ajib berkata, kuliah dan tazkirah secara bersemuka turut dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dan penjarakan 1.5 meter.

Bagi Aidilfitri, katanya, aktiviti jamuan selepas solat sunat hari raya, majlis jamuan dan aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau berkata, solat Jumaat, solat fardu, solat sunat Tarawih dan solat sunat Aidilfitri di kawasan PKPP di Putrajaya dan Labuan dibenarkan dengan jumlah jemaah mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan 1.5 meter.

“Syarat untuk aktiviti qiamullail serta tadarus al-Quran adalah sama dengan syarat di kawasan PKP, tetapi takbir hari raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan jumlah peserta mengikut kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter sehingga jam 10 malam.

“Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan tetapi secara berbungkus, manakala majlis jamuan hari raya tidak dibenarkan. Kuliah dan tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan separuh kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter.

“Aktiviti ziarah kubur dibenarkan dengan tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur dan tidak melebihi 30 minit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.