Jepun buka pusat vaksinasi mega menjelang Olimpik

TOKYO: Jepun membuka pusat vaksinasi besar-besaran pertama hari ini dalam usaha mempercepatkan program inokulasi COVID-19 menjelang penganjuran Sukan Olimpik Tokyo yang berbaki dua bulan.

Dua pusat tentera di Tokyo dan Osaka akan melakukan ribuan suntikan setiap hari yang dimulakan dengan warga tua bagi memerangi gelombang keempat pandemik itu.

Hanya dua peratus daripada 125 juta populasi penduduk divaksinasi setakat ini, berbanding 40 peratus di Amerika Syarikat (AS) dan 15 peratus di Perancis.

Berikutan proses vaksinasi yang agak perlahan, ramai mengkritik kerajaan kerana pelbagai kerenah birokrasi dan peraturan perubatan yang ketat.

Individu terawal mendapat suntikan di pusat vaksinasi di Tokyo berkata, mereka sangat teruja untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

“Hari yang indah. Saya dapat berehat dengan tenang sekarang. Sudah lebih setahun saya berdepan ketakutan dan hidup tertekan,” kata Hideo Ishikawa, 73, kepada pemberita.

Sementara itu, pensyarah kejuruteraan, Munemitsu Watanabe, 71, turut berasa lega tetapi berpandangan proses vaksinasi sepatutnya perlu dipercepatkan.

“Jika program ini dibuat lebih awal dan 80 atau 90 peratus penduduk sudah menerima suntikan sebelum Olimpik, pastinya kejohanan sukan ini akan berjalan lebih lancar,” katanya.

Pusat vaksinasi Tokyo dan Osaka masing-masing menyasarkan sehingga 10,000 dan 5,000 suntikan sehari.

Kedua-dua pusat vaksinasi ini menggunakan dua dos suntikan vaksin Moderna yang sudah disetujui untuk digunakan di Jepun, bersama dengan AstraZeneca pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, buat masa ini, vaksin AstraZeneca belum digunakan berikutan kes terpencil berkaitan kesan sampingannya yang boleh mengakibatkan pembekuan darah.

Pada Februari, Jepun mula menyalurkan suntikan vaksin Pfizer kepada petugas perubatan dan warga tua berumur 65 tahun dan ke atas.

Kerajaan menyasarkan program inokulasi akan tamat sepenuhnya pada penghujung Julai iaitu ketika Olimpik bermula.

Kebanyakan masyarakat membantah penganjuran Olimpik, namun pihak penganjur bertegas acara itu boleh diteruskan dengan selamat.

Kebanyakan atlet dan individu yang tinggal di kem Olimpik akan divaksinasi sebelum dibenarkan masuk ke Jepun.

Bagaimanapun, kerajaan tidak mewajibkan suntikan vaksin bagi atlet yang menyertai acara sukan berprestij itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.