Johor cadang beli vaksin dari Singapura

[email protected]

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin sendiri termasuk membeli dari Singapura dalam usaha memvaksin rakyat negeri ini dengan segera.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata bagi membolehkan vaksinasi rakyat negeri ini berjalan lancar, kerajaan negeri turut bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Dalam memastikan proses vaksinasi dilaksanakan dengan cepat, selamat dan efektif, kerajaan negeri bukan sahaja bekerjasama dengan KKM dan MOSTI, malah sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin sendiri seperti membeli dari Singapura.

“Selain itu, Johor lebih awal berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin di bawah inisiatif ImmuPlan Johor bagi mendapat bekalan vaksin tambahan sebanyak 100,000 dos yang dikhususkan kepada ‘Economic Frontliners’ di negeri ini.

“Sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 85,849 permohonan diterima dan daripada jumlah itu 72,180 memenuhi kriteria untuk dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan ekonomi Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Hasni mempengerusikan mesyuarat khas COVID-19 secara maya yang dihadiri kira-kira 80 ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Johor.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga ADUN Benut berkata, perbincangan dan komitmen yang ditampilkan oleh semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) turut membuktikan penzahiran politik ‘Cara Johor’ yang amat mementingkan muafakat.

Katanya, perbincangan yang membabitkan semua wakil rakyat di negeri ini bertujuan mencapai satu bentuk kata sepakat bagi kebaikan rakyat Johor.

Beliau berkata, pandangan yang dikemukakan oleh semua Ahli Parlimen dan ADUN yang hadir diambil maklum serta diteliti untuk dilaksanakan.

“Kerajaan Johor sentiasa mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat, khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Oleh itu, kerajaan negeri sedang merancang untuk pemberian pakej rangsangan ekonomi 3.0. selain memperuntukkan RM10 juta bagi pemberian bakul makanan kepada rakyat terjejas.

“Kerajaan negeri juga bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM50,000 kepada semua wakil rakyat Johor bagi membantu dalam program advokasi dan membantu meuar-uar informasi yang tepat dan sahih berkaitan usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19 termasuk pendaftaran vaksin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.