Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

Jurulatih taekwondo digantung tugas

KUALA LUMPUR: Jurulatih taekwondo kebangsaan yang didakwa mengeluarkan kata-kata kurang menyenangkan terhadap seorang atlet wanita telah digantung tugas sementara daripada mengendalikan pasukan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, selepas mendapat arahan daripada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, beliau sendiri telah mengambil tindakan awal menggantung tugas jurulatih terbabit daripada mengendalikan pasukan.

Beliau berkata jurulatih itu telah diminta meninggalkan asrama atlet di Bukit Jalil sebagai tindakan awal, selain mengakui ia bukan kali pertama berlaku ketidaksefahaman antara jurulatih dan atlet kyorugi (tempur) tersebut.

Katanya, MSN dan Taekwondo Malaysia (TM) akan mendapatkan maklumat mengenai insiden berkenaan dan menjalankan siasatan bersama dalam mencapai penyelesaian terbaik.

“Buat masa ini, program latihan dikendalikan oleh penolong jurulatih sedia ada. Ini dakwaan sebelah pihak, kita harus berlaku adil kepada semua pihak, jadi Insya-Allah kita akan cuba selesaikan isu ini sebaik mungkin yang boleh bagi memastikan pasukan kita berlatih dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shapawi, ini bukan kali pertama wujud rasa tidak puas hati antara atlet dan jurulatih terbabit, namun aduan sebelum ini telah diselesaikan secara dalaman menerusi perbincangan dengan TM, tetapi kali ini ia agak serius dan keluarga atlet wanita itu juga telah membuat laporan polis.

“Saya tidak boleh menidakkan bahawa adakalanya jurulatih akan mengeluarkan challenge (mencabar) atau melepaskan kegeraman terhadap atlet supaya mereka dapat menghadapi tekanan dan mempamerkan prestasi yang baik. Tetapi sebagai seorang jurulatih profesional dan berpengalaman, beliau harus mengendalikan situasi itu dengan lebih baik,” katanya.

Menurut hantaran yang dimuat naik di media sosial kakak kepada atlet wanita itu, jurulatih tersebut telah bertindak memalukan adiknya di depan rakan sepasukan dalam satu perjumpaan pada waktu malam 23 April lepas dan mengugutnya akan disingkirkan daripada skuad kebangsaan.

Turut tular satu laporan polis yang dibuat oleh bapa atlet itu ke atas jurulatih berkenaan sehingga mendapat perhatian Reezal Merican semalam, yang mengarahkan MSN mengambil tindakan segera.

Sementara itu, Reezal Merican berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut tetapi tidak mahu memberi gambaran bahawa setiap kali berlaku insiden sedemikian, menteri perlu masuk campur untuk menyelesaikannya.

“Saya tidak boleh ambil mudah aduan yang dibuat oleh atlet dan aduan ini bukan kali pertama, atas sebab itu saya minta MSN ambil tindakan. Saya masih yakin TM mampu mencapai penyelesaian dalam hal ini.

“Saya juga ambil maklum dan minta supaya kes-kes begini tidak menjejaskan persiapan serta perkembangan sukan taekwondo negara, sama ada mempersiapkan diri ke kejohanan seperti Sukan SEA dan Asia,” katanya selepas menerima suntikan dos kedua vaksin bersama atlet dan pegawai yang terlibat dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Exit mobile version