Kadar pemberian vaksin di Malaysia meningkat laju, dahului purata Asia

Data terkini menunjukkan kadar pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia melepasi kadar purata Asia sekali gus meninggalkan negara-negara utama Asean yang lain.

Beberapa statistik mengenai kadar vaksinasi yang dikumpulkan laman sesawang data global, Our World In Data meletakkan Malaysia di tahap tertinggi di Asia, menjadi satu-satunya negara yang berada di atas paras purata benua Asia.

Data juga menunjukkan sejak 30 Mei lalu, negara menyaksikan peningkatan mendadak trajektori kadar mereka yang menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin sekaligus memberikan petanda sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok pada tahun ini dengan mudah dapat dicapai.

Sebanyak 7.3% daripada populasi Malaysia menerima sekurang-kurangnya suntikan pertama vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada Februari lalu melebihi kadar purata 6.47% negara-negara Asia lain termasuk jiran-jirannya yang memiliki saiz keluasan dan populasi yang besar.

Angka tersebut tidak mengambil kira 79,620 orang yang menerima suntikan pertama pada 6 Jun lalu.

Pada 6 Jun lalu, sejumlah 3,574,376 orang di Malaysia divaksinasi dengan suntikan pertama sementara 1,130,301 daripada mereka menerima dos vaksin yang lengkap.

Selangor, Sarawak, Perak dan Kuala Lumpur adalah antara negeri-negeri yang memiliki angka penerima vaksin paling tinggi setakat ini.

Dalam pada itu, hanya 6.43% daripada populasi di Indonesia menerima suntikan vaksin pertama mereka.

Program vaksinasi Indonesia dimulakan awal sebulan daripada PICK di Malaysia.

Kedua-dua negara tersebut terus mendahului dengan jauh meninggalkan negara-negara Asean lain seperti Filipina, Myanmar, Vietnam dan Thailand.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Malaysia yang bermula pada 24 Februari tahun ini menyaksikan sejumlah 500,000 barisan hadapan negara menerima vaksin pada fasa pertama.

Fasa kedua bermula pada April dijangka melibatkan 9.4 juta penerima terdiri daripada warga emas dan mereka yang memiliki risiko tinggi.

Fasa ketiga pula dijadualkan bermula pada Mei sehingga Februari tahun depan melibatkan 13.7 juta penerima berusia 18 tahun ke atas.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin beberapa kali memberi jaminan kadar vaksinasi negara akan meningkat selepas negara menerima lebih banyak bekalan vaksin bermula Jun.

“Dengan kadar yang kita unjurkan, saya percaya dan yakin kita dapat selesaikan sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam sidang media pada 19 Mei lalu.

 

Read More
Sumber Web: Berita – MalaysiaNow

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.