Kanak-kanak juga perlu diberi akses vaksin, kata bekas menteri kesihatan

Christopher Fitzhugh, 13, dari Washington, Amerika Syarikat, tersengih lega selepas diberi suntikan vaksin Pfizer minggu lepas. Negara itu membenarkan vaksin berkenaan diberikan kepada individu berusia antara 12 hingga 15 tahun. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Kerajaan digesa membeli lebih banyak vaksin yang tersedia di pasaran untuk orang awam dan memberi vaksin keluaran Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah, kata bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, sebaik sahaja baki bekalan vaksin yang dibeli tiba, suntikan boleh diberi kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas kerana akan terdapat lebih banyak data dari luar negara berhubung keselamatan vaksin lain.

Ini berikutan keputusan kerajaan Amerika Syarikat dan Kanada membenarkan penggunaan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak berusia antara 12 hingga 15 tahun.

Dzulkefly berkata, langkah terbaik juga ialah menyediakan sistem ventilasi lebih baik di sekolah kerana ia membolehkan peredaran udara berlaku dengan lancar.

Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, walaupun langkah meminta generasi muda memakai pelitup muka mungkin sukar, namun ibu bapa perlu menggalakkan pemakaiannya, terutama dalam kalangan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas memakai pelitup muka tertentu, tetapi tidak memaksakannya melainkan dalam keadaan darurat.

“Bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, mereka boleh memakai dua lapis pelitup muka atau menggunakan pelindung muka,” katanya.

Dzulkefly menegaskan Kementerian Pendidikan bertanggungjawab menyediakan peralatan tersebut untuk kanak-kanak di sekolah.

Beliau berkata, penjarakan fizikal juga penting kerana kanak-kanak sentiasa aktif dan banyak bergerak.

Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, vaksinasi kanak-kanak dengan vaksin yang diketahui selamat harus dimulakan sebaik sahaja kumpulan berisiko tinggi memperoleh suntikan mereka.

Subramaniam Muniandy.

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy, berkata tidak terdapat syor baharu melainkan menggalakkan pemakaian dua lapis pelitup muka bagi membantu mengurangkan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

“Buat masa ini, kanak-kanak perlu berada di rumah dan menjauhkan kontak rapat dengan orang bukan anggota rumah yang sama,” katanya kepada FMT.

“Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mengamalkan penjagaan kebersihan yang ketat dan kerap membasuh tangan dengan sabun.”

Subramaniam berkata, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak sebaik mungkin berhubung pandemik dan kenapa langkah pencegahan penting.

Dilaporkan sejumlah 48,261 kanak-kanak dan bayi di Malaysia dijangkiti wabak Covid-19 sehingga Selasa lepas.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata kanak-kanak tidak kebal daripada jangkitan virus berkenaan.

“Jika sebelum ini, golongan warga emas berisiko dijangkiti Covid-19, namun sekarang ancaman virus itu tersebar kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu membimbangkan dan seharusnya membangkitkan kesedaran semua pihak, terutama ibu bapa.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.