KBS, MSN akan bantu bekas perenang dakwa alami gangguan seksual

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican mengakui amat terkesan, marah dan kecewa mengikuti kisah Cindy Ong serta atlet lain yang dilaporkan mengalami gangguan seksual ketika menjadi perenang negara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican mengarahkan pegawainya dan Majlis Sukan Negara (MSN) menghubungi serta membantu bekas perenang negara, Cindy Ong yang didakwa mengalami gangguan seksual ketika bersama skuad negara.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara itu dan memberi jaminan MSN akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan.

Beliau mengakui amat terkesan, marah dan kecewa mengikuti kisah Ong serta atlet lain yang dilaporkan media baru-baru ini.

“Perkara seperti ini boleh terjadi dan terus terjadi kepada sesiapa saja, tidak kira atlet, pegawai, jurulatih mahupun staf sokongan; lelaki atau wanita, sekiranya tiada tindakan diambil.

“Bagi saya, tiada kompromi dan perlindungan untuk mana-mana jurulatih dan pegawai, jika didapati bersalah. Pelaku tidak akan dilindungi,” katanya dipetik Bernama dalam kenyataan.

Reezal berkata, gangguan seksual itu tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana atlet negara kerana mereka dan pegawai perlu berada dalam suasana selamat di pusat latihan kebangsaan, selain tidak mengganggu usaha pembangunan bakat serta sukan negara.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN akan memberi sokongan penuh dan terus memperkasakan platform seperti Jawatankuasa Perwakilan Atlet MSN, Jawatankuasa Salah Laku & Gangguan Dalam Sukan MSN serta Suruhanjaya Atlet di bawah Majlis Olimpik Malaysia untuk memudahkan atlet dan pegawai membuat laporan.

Beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak menormalisasikan gangguan seksual sedemikian tanpa sebarang tindakan lanjut.

“Kita semua ada keluarga, anak, isteri, adik-beradik yang mungkin terdedah kepada ancaman seperti ini. Berat untuk kita lalui dengan perasaan tidak dapat melindungi orang yang kita sayang.”

Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan pendedahan Ong dan seorang lagi bekas perenang yang mendakwa mengalami gangguan dan serangan seksual selama bertahun-tahun ketika menjadi perenang negara.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.