Warning: fopen(/tmp/alcjlouHTxWd-SRaZQd.tmp): failed to open stream: Disk quota exceeded in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 139

Warning: unlink(/tmp/alcjlouHTxWd-SRaZQd.tmp): No such file or directory in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 142

KDNK susut 0.5% suku pertama tahun ini

Semua sektor ekonomi semakin baik pada suku pertama, terutama sektor pembuatan yang meningkat 6.6% berbanding 3% tahun lalu.

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 0.5% pada suku pertama tahun ini, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Malaysia Mohd Uzir Mahidin dalam sidang media hari ini berkata ia adalah prestasi yang “lebih baik daripada yang dijangkakan” walaupun berdepan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua pada Januari lalu.

“Penguncupan yang lebih kecil ini disokong terutamanya oleh peningkatan permintaan dalam negeri dan sokongan berterusan dari keadaan luaran yang lebih baik.

“Faktor-faktor ini lebih kepada mengimbangi impak kekurangan tenaga kerja dan penutupan premis akibat wabak Covid-19,” katanya.

Bagi prestasi KDNK bulanan negara, Uzir berkata Januari dan Februari mencatat penurunan masing-masing pada 3.5% dan 3.6%, tetapi melonjak 6% pada Mac.

Katanya, semua sektor ekonomi semakin baik pada suku pertama, terutama sektor pembuatan yang meningkat 6.6% berbanding 3% tahun lalu. Ini didorong oleh produk elektrik, elektronik dan optik, selain produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Sektor pertanian juga berkembang 0.4%, meningkat selepas penurunan 1% tahun lalu, disebabkan prestasi lebih baik dalam ternakan, perhutanan dan pembalakan, serta pertanian lain.

Walaupun terdapat penyusutan dalam sektor perkhidmatan (2.3%), perlombongan dan pengkuarian (5%) dan pembinaan (10.4%), Uzir berkata ia masih meningkat berbanding penurunannya pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini disumbang oleh permintaan lebih baik dalam kegiatan berkaitan dengan pengguna, peningkatan produksi minyak mentah dan gas asli, serta lebih banyak projek komersial yang masing-masing hampir selesai.

Pada suku akhir 2020, sektor pembinaan sebelumnya mengalami penurunan sebanyak 13.9%, diikuti oleh sektor perlombongan dan penggalian (-10.4%) serta sektor perkhidmatan (-4.8%).

Uzir berkata, semua komponen pengeluaran menunjukkan tanda-tanda pemulihan, yang dipimpin oleh eksport dan import yang melonjak kepada pertumbuhan dua digit disebabkan perkembangan barangan.

Bagaimanapun, eksport perkhidmatan terus menurun kerana sempadan negara ditutup untuk perjalanan pelancongan.

Perbelanjaan penggunaan akhir swasta sedikit merosot 1.5% dan pembentukan modal tetap kasar turut mencatatkan penurunan lebih rendah sebanyak 3.3%.

Sebaliknya, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat kepada 5.9% kerana perbelanjaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan pada suku pertama.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata negara berada di landasan tepat untuk mencatat pertumbuhan KDNK 6% hingga 7.5% tahun ini.

Walaupun sekatan pergerakan sedang berkuatkuasa di seluruh negara, Nor Shamsiah berkata kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi mungkin kurang teruk berbanding PKP pertama pada Mac 2020.

“Ketika kebanyakan sektor ekonomi kekal dibuka sepanjang PKP 3.0, kami tidak menjangkakan PKP yang diumumkan semalam akan memberi kesan signifikan terhadap sasaran pertumbuhan keseluruhan, seperti mana dilihat pada suku kedua tahun lalu,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, negara turut diharap dapat meraih keuntungan daripada peningkatan permintaan luaran, sambil menambah sistem perbankan tetap bertahan dan dapat menyokong pemulihan ekonomi yang sedang berlangsung.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.