Keganasan punca utama rumah tangga ‘hancur’ pada 2020, kata SIS

Telenisa juga mendapati dua punca baharu keretakan rumah tangga iaitu masalah kewangan dan poligami.

PETALING JAYA: Keganasan rumah tangga menjadi sebab utama kehancuran perkahwinan sehingga berakhir dengan perceraian atau perpisahan pada 2020, menurut statistik perkhidmatan undang-undang percuma Sisters in Islam (SIS), Telenisa.

Pengurus Advokasi, Perkhidmatan Undang-undang dan Penyelidikan SIS Shareena Sheriff ketika membentangkan hasil dapatan laporan itu hari ini berkata, anak guam mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga melaporkan pelbagai penderaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berlangsung.

“Sebanyak 37% keganasan fizikal dilaporkan, manakala penderaan psikologi 31%, penderaan sosial 11%, kewangan 16% dan seksual 5%.

Telenisa juga mendapati dua punca baharu keretakan rumah tangga iaitu masalah kewangan dan poligami masing-masing sebanyak 10%.

Shareena menambah, ketika PKP disebabkan terpaksa duduk di rumah, ada segelintir isteri mendapati suami mereka telah berkahwin lain secara rahsia kadangkala sejak beberapa tahun.

“Kadangkala suami terlibat terpaksa menjawab panggilan telefon isteri atau keluarga lain ketika di rumah.

“Isteri terlibat mendapat tahu mengenai perkahwinan berkenaan menerusi pesanan daripada madu mereka, atau selepas menemui barangan atau dokumen suami yang membayangkan perkara itu berlaku.

Sementara itu, Telenisa berkata, sebanyak 18% kes melibatkan suami yang tidak membayar nafkah.

Berhubung tuntutan harta sepencarian, Shareena ini menunjukkan penurunan sejak 2018.

Telenisa melaporkan ramai anak guamnya terutama suri rumah, masih tidak menyedari hak mereka berhubung harta sepencarian kerana tidak menyumbang dari segi kewangan.

Mereka menambah, bekas suami juga memperdayakan mereka berhubung isu itu untuk menghalang mereka daripada membuat tuntutan terhadap rumah kelamin.

Pada 2020, Telenisa mempunyai 422 anak guam berbanding 610 pada 2019, dengan 364 daripadanya pelanggan baharu.

Seramai 373 adalah wanita (88%), 31 lelaki (7%), manakala 18 (5%) tidak dikenal pasti.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.