Warning: fopen(/tmp/alcjlouHTxWd-piBmdG.tmp): failed to open stream: Disk quota exceeded in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 139

Warning: unlink(/tmp/alcjlouHTxWd-piBmdG.tmp): No such file or directory in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 142

Kementerian tiada kuasa hukum majikan enggan benar BdR, kata Saravanan

Saravanan mengadakan lawatan mengejut ke kilang pembuatan di Serdang hari ini

SERDANG: Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) sukar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang enggan membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah (BdR) seperti SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata menterinya, M Saravanan.

Saravanan berkata ini kerana KSM tidak mempunyai punca kuasa untuk mengambil tindakan terhadap majikan biarpun kerajaan sudah mengeluarkan arahan supaya hanya membenarkan hanya 60% pekerja berada di premis atau pejabat pada satu-satu masa.

“Biarpun KSM menerima banyak aduan namun kita tidak mempunyai sebarang undang-undang atau akta yang memberi kuasa kepada kementerian mengambil tindakan tegas terhadap majikan terbabit kerana Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, bagaimanapun selepas perbincangan di peringkat jawatankuasa teknikal memutuskan bahawa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia (di bawah KSM) boleh mengambil tindakan kepada majikan terbabit menggunakan Akta 342, dengan syarat ada penurunan kuasa daripada KKM.

“Berikutan itu perkara berkenaan akan dibincangkan di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa MKN untuk dibincangkan dan diluluskan petang ini,” kata beliau.

Sekiranya diluluskan, mana-mana syarikat atau industri yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda maksimum RM50,000, manakala bagi individu RM10,000 bagi setiap kesalahan.

Saravanan turut merayu majikan dan pihak industri supaya membenar pekerja mereka melaksanakan BdR kerana kadar jangkitan kes Covid-19 dalam komuniti dan tempat kerja kini mencapai tahap membimbangkan.

Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi membolehkan kerajaan mengumumkan satu pendekatan supaya suntikan vaksinasi Covid-19 lebih awal kepada pekerja tempatan dan asing, sekali gus mengelakkan tercetus kluster tempat kerja baharu.

“Saya juga berharap majikan dan individu yang menggaji pekerja asing tanpa izin supaya tampil membuat laporan kepada JTK atau Jabatan Imigresen Malaysia secepat mungkin bagi membolehkan kerajaan turut memberi vaksinasi kepada golongan terbabit.

“Jika mereka gagal berbuat demikian kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta 342, Akta Imigresen dan sebagainya,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Saravanan sekali lagi menolak dakwaan sebuah kesatuan sekerja kononnya kerajaan sudah memansuhkan penguatkuasa Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 kerana beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian, selain memerlukan kelulusan Jemaah Kabinet.

Malah, Saravanan berkata hasil penguatkuasaan sejak hampir setahun lalu kira-kira 38% daripada majikan di Malaysia sudah mematuhi peruntukan Akta 446 dan selebihnya sedang dalam proses berbuat demikian.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.