‘Kenapa nak ambil duit orang mati’, CUEPACS bidas JPA mengenai potongan elaun perangi Covid-19

Abdul Rahman Mohd Nordin mempersoalkan keperluan JPA menggubal peraturan khusus untuk kakitangan awam yang meninggal dunia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan ‘memotong’ sebahagian elaun kakitangan awam untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana, sekali pun mereka meninggal dunia pada tempoh tertentu bulan depan, mengejutkan CUEPACS.

Menurut pekeliling JPA yang dilihat FMT, bagi “pegawai yang meninggal dunia pada 1 Julai 2021, pegawai (berkenaan) akan terlibat dalam sumbangan ini, kerana pegawai masih lagi berada dalam perkhidmatan pada tarikh itu”.

Pekeliling itu juga menyebut bahawa sekiranya seseorang pegawai meninggal dunia pada 15 Julai, elaunnya juga akan dipotong untuk disumbangkan kepada tabung berkenaan kerana beliau dianggap masih dalam perkhidmatan pada 1 Julai.

“Namun kadar sumbangan perlu dikira secara berkadaran, mengikut pengiraan emolumen pada bulan tersebut,” mengikut pekeliling berkenaan dalam bahagian “soalan lazim pelaksanaan sumbangan melalui pengurangan elaun dalam mendepani pandemik Covid-19”.

Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin, mempersoalkan keperluan JPA menggubal peraturan khusus untuk kakitangan awam yang meninggal dunia.

“Walaupun kita berharap semua kakitangan awam selamat dan tiada keperluan peraturan ini digunakan, CUEPACS tetap membantah keperluannya, kerana ia mencerminkan seolah-olah JPA tidak prihatin.

“Apabila seseorang meninggal dunia, ahli keluarga tentunya dalam amat kesedihan. Jadi, untuk menafikan mereka sebahagian pendapatan orang yang sudah tiada, adalah sedikit kejam.

“Kenapa (JPA) mahu ambil duit orang yang sudah meninggal dunia? Adalah lebih baik kerajaan membatalkan klausa ini, “ kata beliau.

Rahman berkata CUEPACS tidak dihubungi oleh JPA dalam merangka syarat pemotongan elaun kakitangan awam untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

Pada 1 Jun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali, mengumumkan penjawat awam bagi Gred 29 hingga Gred 56 akan menyerahkan sebahagian elaun mereka selama tiga bulan kepada Akaun Amanah Bencana.

Menurut beliau, sumbangan itu sebagai “manifestasi solidariti” kepada tindakan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji bagi tempoh sama dalam memerangi pandemik Covid-19.

Zuki berkata elaun berkenaan adalah Imbuhan Tetap Kerajaan (ITK) bagi pengurusan tertinggi Gred 44 hingga Gred 56 dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 4.

Beliau berkata sumbangan lebih 800,000 penjawat awam itu dianggarkan berjumlah RM30 juta.

Katanya, bagi JUSA A dan ke atas, kadar sumbangan adalah 50% manakala Jusa B (20%) dan Jusa C (10%) sementara Gred 44 hingga Gred 56, kadar sumbangan elaun adalah 5% membabitkan elaun ITK.

Bagi Gred 29 hingga 41, kadar sumbangan elaun ITKA adalah RM10.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.