Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.

Kencing berdarah amaran petanda kanser

MASALAH kencing berdarah atau dikenali sebagai haematuria, salah satu gejala penyakit perlu diberi perhatian.

Ia terbahagi kepada darah yang boleh dilihat dan darah yang tidak boleh dilihat (mikrosopik).

Darah yang boleh dilihat dianggap sebagai suatu gejala penting kerana ia boleh memberi amaran awal mengenai beberapa penyakit dalam sistem aliran air kencing, termasuk kanser, walaupun ia berlaku sekali sahaja.

Keseluruhannya, lebih kurang 15 peratus pesakit yang mengalami gejala ini didapati mengalami kanser di buah pinggang atau pundi kencing.

Selain kanser, gejala ini boleh juga disebabkan oleh batu karang atau jangkitan kuman.

Dalam kalangan wanita, jangkitan kuman dalam air kencing lebih kerap dikesan, manakala batu karang dan kanser lebih kerap dihidapi lelaki.

Risiko kanser juga berkaitan dengan umur pesakit yang mengalami gejala ini lebih kerap dikesan dalam kalangan mereka berumur 60 tahun ke atas.

Buat rutin pemeriksaan

Mengulas lanjut, Pakar Urulogi Pantai Hospital Pulau Pinang, Dr Surayne Segaran, berkata darah dalam air kencing mungkin berasal daripada sebarang organ di dalam sistem aliran air kencing, termasuk buah pinggang, ureter (saluran di antara pundi kencing dan buah pinggang), pundi kencing atau kelenjar prostat.

Katanya, ia bergantung kepada punca pendarahan ini mungkin berkaitan dengan gejala yang lain seperti sakit belakang, demam, dan rasa pedih atau tidak puas apabila membuang air kecil.

“Walaupun pendarahan tidak sakit, namun ia berbahaya dan perlu pemeriksaan terperinci perlu untuk mengetahui puncanya.

“Darah yang tidak boleh dilihat (mikroscopik) dalam air kencing boleh berlaku tanpa disedari seseorang mengalami apa-apa gejala lain.

“Biasanya dikesan ketika menjalani pemeriksaan rutin pemeriksaan. Dalam keadaan ini ujian air kencing perlu dilakukan lagi dan kalau darah dikesan pemeriksaan lanjut perlu dilakukan,” katanya.

Gejala kencing berdarah

Katanya, kira-kira tiga peratus pesakit mengalami gejala ini disahkan menghidapi kanser.

Keadaan ini kadangkala disebabkan oleh penyakit atau kegagalan fungsi buah pinggang.

Ia boleh berlaku bersama dengan tekanan darah tinggi, kaki yang bengkak dan kencing berbuih (disebabkan kandungan protein yang tinggi dalam air kencing).

Kencing yang mengandungi ketulan darah beku adalah gejala yang amat merisaukan kerana ketulan ini mungkin menyekat aliran air kencing dengan sepenuhnya.

Katanya, rawatan segera perlu dilakukan untuk menentukan punca pendarahan.

Ujian diperlukan untuk menentukan punca darah dalam air kencing bergantung kepada gejala lain dialami oleh pesakit.

Buat ujian air kencing

Pakar bidang urologi biasanya mengendalikan pemeriksaan diagnostik berkaitan dengan saluran kencing dan rawatan seterusnya jika diperlukan.

Pada peringkat awal, ujian air kencing dan ujian darah diperlukan untuk mengesan jangkitan kuman dalam air kencing dan menentukan fungsi buah pinggang.

Imbasan ultrasound atau CT biasanya diperlukan untuk mengesan batu karang atau kanser buah pinggang.

Walaupun imbasan CT lebih mahal dan memerlukan penggunaan sinar-X yang tinggi, ia disyorkan untuk menentukan punca darah yang boleh dilihat pada air kencing.

Imbasan ultrasound boleh digunakan dalam keadaan pendarahan mikroskopik.

“Pemeriksaan saluran air kencing dan pundi kencing dengan kamera yang halus (sistoskopi) disyorkan untuk kebanyakan orang yang mengalami gejala pendarahan, terutama di kalangan mengalami darah boleh dilihat, yang berumur di atas 50 tahun dan merokok,” katanya.

Kaedah rawatan

Pemeriksaan dengan imbasan sahaja tidak mencukupi untuk mengecualikan masalah kecil yang mungkin terkandung di dalam pundi kencing.

Ujian sistoskopi biasanya boleh dijalankan sebagai pesakit luar dengan membius bahagian diperiksa.

Rawatan pendarahan dalam air kencing bergantung kepada punca pendarahan. Jangkitan kuman boleh dirawati dengan ubat antibiotik, manakala batu karang boleh dipecahkan dengan menggunakan gelombang kejutan dari luar badan atau dengan laser dengan kaedah endoskopik (kamera halus melalui saluran semula jadi badan).

Kelenjar prostat yang bengkak boleh dirawati dengan ubat atau mungkin memerlukan pembedahan secara endoskopi.

Kaedah pembedahan

Kanser buah pinggang biasanya memerlukan prosedur untuk membuang organ itu, tetapi kebanyakan pakar urologi mahir melaksanakan prosedur ini dengan kaedah “lubang kunci” (laparoskopik) yang membenarkan pemulihan yang lebih pantas berbanding dengan pembedahan terbuka.

Sesetengah tumbuhan di buah pinggang dan boleh dihapuskan dengan kaedah pembekuan (kriotherapi) yang juga kurang invasif.

Kebanyakan kanser pundi kencing boleh dirawat dengan cara endoskopi tanpa membuang keseluruhan pundi kencing, tetapi kanser pada peringkat lebih lewat mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang keseluruhan pundi kencing.

Pencegahan awal penting

Dr Surayne berkata, di Malaysia, batu karang adalah salah satu punca utama kencing berdarah.

Untuk mencegah pembentukan batu karang, seseorang perlu minum banyak air sehingga warna air kencing tidak pekat. Biasanya ini memerlukan tiga liter atau lebih setiap hari.

Dari segi pencegahan kanser, punca utama kanser buah pinggang dan pundi kencing yang boleh dielakkan berhenti merokok.

“Merokok meningkatkan risiko kanser dalam sistem aliran air kencing sehingga tiga kali ganda.

Tidak kira puncanya, setiap penyakit boleh dirawati dengan lebih berkesan kalau ia dikesan pada peringkat awal.

“Sesiapa mengalami gejala kencing berdarah harus dapatkan nasihat perubatan dengan segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.