PUTRAJAYA: Kerajaan sudah menyalurkan sebanyak RM717.04 juta bagi elaun khas barisan hadapan kepada hampir dua juta tuntutan dibuat oleh doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit dalam pengurusan serta pembendungan COVID-19.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata elaun khas itu turut diberikan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM).
“Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (JPA) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terbabit dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-53, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Pekerjaan Negara (NEC) pada 7 Mei lalu sudah memaklumkan sehingga bahawa pada 23 April, seramai 150,597 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui pelbagai program yang dilaksanakan.
Malah, katanya, inisiatif latihan dan penempatan pekerjaan
berjaya dilaksanakan dan masih giat dijalankan oleh Koridor Wilayah Pembangunan Ekonomi bersama industri tempatan melalui beberapa inisiatif seperti NCER COVID-19 Impacted Industry Strategic Intervention Programme (NCSIP) oleh Agensi Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
“Bagi Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 pula, 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja menerima manfaat PSU di bawah PRIHATIN dan PENJANA.
“Sehingga 7 Mei, permohonan subsidi upah yang diluluskan sudah pun mencapai nilai RM12.888 bilion.
“Dalam tempoh sama, Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran merekodkan 143,224 peserta lulus berbanding 143,004 peserta pada minggu sebelumnya dalam mengambil bahagian program yang disediakan,” katanya.
Mengenai pengecualian cukai perkhidmatan hotel pula, Tengku Zafrul berkata nilai yang dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan sudah mencecah RM2.333 bilion.
Beliau berkata, antara inisiatif lain bagi menyokong sektor pelancongan merangkumi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong, serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya.
Katanya, pembiayaan sektor pelancongan PENJANA pula menyaksikan sebanyak 653 permohonan diterima dan daripada jumlah itu sebanyak 325 permohonan diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM64.6 juta.
“Kementerian memahami bahawa keadaan pandemik yang masih mencabar menghadkan peniaga untuk memohon dana ini.
“Namun, kerajaan berharap agar apabila keadaan kembali pulih, penggiat industri pelancongan mempunyai dana sedia ada untuk digunapakai bagi mengembangkan perniagaan masing-masing, memanfaatkan gelombang pemulihan ekonomi serantau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian