Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

Kerajaan digesa buka pilihan sukarela untuk vaksin selain AstraZeneca

Persatuan mewakili hospital-hospital swasta di Malaysia hari ini mencadangkan agar kerajaan memberikan pilihan sukarela bagi vaksin Pfizer seperti pendekatan yang diambil bagi suntikan vaksin AstraZeneca supaya ia dapat memudahkan kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata pendekatan “siapa cepat, dia dapat” bagi vaksin AstraZeneca telah diterima dengan baik walaupun wujud kebimbangan mengenai kesan sampingan termasuk kes pembekuan darah seperti yang dilaporkan beberapa negara mengenai vaksin tersebut.

“Kami menyarankan agar pendekatan serupa dengan memberi pilihan sukarela kepada orang ramai bagi vaksin tertentu (Pfizer-BioNTech) dalam PICK tanpa mengikuti fasa yang ditetapkan.

“Ia boleh dibuka kepada semua warga negara dan penduduk di negara ini sebagai tambahan kepada vaksinasi AstraZeneca,” katanya.

Pelaksanaan vaksinasi AstraZeneca yang didaftar secara sukarela bermula pada 5 Mei di empat pusat yang ditetapkan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebanyak 268,600 dos suntikan diperuntukkan untuk penduduk di dua negeri tersebut.

Kesemua slot suntikan ditempah orang ramai dalam hanya beberapa jam sahaja.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan suntikan dengan pilihan sukarela di samping tidak memasukkan vaksinasi AstraZeeca ke dalam program vaksinasi utama susulan kerisauan orang ramai berhubung risiko pembekuan darah selepas mengambil dos vaksin tersebut.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata sekitar 8,000 orang telah membatalkan pendaftaran vaksinasi mereka di bawah MySejahtera selepas pengumuman kerajaan bahawa vaksin AstraZeneca akan dimasukkan dalam PICK.

Namun, memandangkan respons positif orang ramai selepas suntikan tersebut boleh diambil dengan cara pilihan sukarela Khairy berkata ia akan diperluaskan kerana vaksin AstraZeneca akan tiba di negara ini melalui inisiatif Covax.

Kuljit menambah langkah menawarkan vaksin lain dengan pilihan sukarela boleh dikendalikan secara ketat oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Beliau turut berkata vaksinasi itu boleh ditawarkan berdasarkan bekalan vaksin tanpa merampas peluang mereka yang tidak berkemampuan.

“Cadangan vaksinasi ad-hoc dari waktu ke waktu boleh dilaksanakan oleh hospital swasta berdasarkan janji temu MySejahtera,” tambahnya.

“Ia sangat membantu golongan yang memerlukan vaksin lebih awal bagi perjalanan antarabangsa dan barisan hadapan ekonomi, terutama ketika peningkatan kes yang sedang berlaku dan potensi penularan varian baru.”

Read More
Sumber Web: Berita – MalaysiaNow

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version