Kerajaan disaran laksanakan vaksinasi bersasar

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menggunakan pendekatan vaksinasi bersasar berbanding pendaftaran secara sukarela dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata vaksinasi bersasar diyakini berkesan untuk mengekang penularan wabak COVID-19, sekali gus boleh mencapai matlamat imuniti kelompok dalam masa ditetapkan.

Sebaliknya, beliau berkata, pendekatan ‘tunggu dan lihat’ melalui pendaftaran sukarela dalam aplikasi MySejahtera, disifatkan sebagai bukan kaedah baik ketika risiko jangkitan COVID-19 di seluruh negara sedang meningkat.

“Kerajaan perlu lebih proaktif dengan melakukan tindakan secara bersasar melalui pelaksanaan fasa dua dan tiga program imunisasi berdasarkan maklumat yang mereka ada berkaitan risiko jangkitan COVID-19 di seluruh negara.

“Vaksinasi secara bersasar bukan saja bersifat proaktif tetapi juga dapat menguruskan program imunisasi dengan lebih teratur dan mengelakkan pembaziran vaksin COVID-19 yang bernilai tinggi sekarang.

“Lagipun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan ternyata tidak berkesan membendung wabak COVID-19 dengan adanya varian baharu yang lebih mencabar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, vaksinasi bersasar boleh dilaksanakan terhadap kumpulan membabitkan ahli dan kakitangan sokongan farmasi komuniti, semua kemudahan kesihatan swasta, pendidik dan kakitangan sokongan sekolah serta institusi pendidikan.

Beliau berkata, golongan sasar lain yang turut dicadangkan ialah semua pesara kerajaan dan kakitangan awam serta tanggungan mereka, pusat jagaan orang tua, pusat dialisis dan kilang di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

“Seterusnya, penduduk di kawasan PKP, PKPD dan PKPB melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), penerima Skim Peduli Kesihatan (PEKA) B40, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), serta syarikat berkaitan kerajaan dan swasta,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu lebih berkesan kerana tindakan diambil adalah lebih teratur berikutan membabitkan majikan dan pekerja.

Melalui kaedah itu, katanya, program imunisasi akan lebih mudah dilaksanakan, sekali gus mencapai objektif utama untuk imuniti kelompok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.