Kerajaan perlu kawal harga ujian calitan di klinik swasta – Dr Mahathir

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta campur tangan terhadap isu harga ujian calitan COVID-19 yang tinggi dikenakan oleh klinik dan hospital swasta sehingga membebankan orang awam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata meskipun premis kesihatan swasta itu perlu menampung kos alatan untuk melakukan ujian calitan pengesanan COVID-19, dalam situasi getir sekarang ini mereka tidak seharusnya mengenakan caj yang tinggi.

Justeru, beliau berkata kerajaan perlu memberi perhatian terhadap pihak swasta yang cuba mengaut keuntungan besar di tengah-tengah krisis.

“Bagi pihak swasta, mereka perlu membayar dan membeli segala alatan itu (berkaitan ujian calitan COVID-19). Mereka boleh kenakan bayaran tetapi bayaran banyak mana itu mengikut kos.

“Jangan cuba cari keuntungan besar. Sebaliknya boleh dapat sedikit keuntungan. Tetapi saya tak tahu kos berapa banyak. Kita tahu mereka kenakan bayaran tertentu.

“Saya minta kerajaan mengambil tahu kos mereka ini merangkumi apakah kos yang perlu ditanggung pihak swasta ataupun mereka ini cuba mencari keuntungan besar. Kita sedang menghadapi masalah nasional bukan parti atau masalah perniagaan. Oleh itu, kerajaan kena ambil berat tentang kos ditekankan oleh pihak swasta,” kata pada sidang media secara maya, petang tadi.

Dr Mahathir turut mencadangkan kerajaan supaya menyediakan perkhidmatan ujian calitan COVID-19 secara percuma.

Jelasnya, ia perlu dalam tempoh sekarang bagi membantu langkah pengesanan awal jangkitan wabak pandemik itu sekali gus boleh mengelak penularan penyakit kepada orang lain.

Sebelum ini BH pernah melaporkan tindakan klinik dan makmal di Lembah Klang yang mengenakan caj tinggi untuk kit ujian COVID-19 menggunakan persampelan air liur.

Tinjauan BH di beberapa klinik dan makmal swasta, ada premis berkenaan mengenakan caj tidak seragam iaitu antara RM150 hingga RM250 bagi kaedah persampelan air luar atau ‘deep throat saliva’.

Laporan itu turut mendapat respon daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang mahu klinik atau pusat perubatan swasta perlu menyediakan bil terperinci bagi penjualan perkhidmatan ujian COVID-19 di premis mereka, jika kos dikenakan melebihi harga siling setiap jenis ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Adham menjelaskan, ketika ini kerajaan menetapkan harga siling untuk ujian RT-PCR berharga RM150; rapid molecular yang membolehkan ujian diperoleh dengan pantas pada harga RM270; Rapid Test Kit Antigen (RTK Ag) pada harga RM60 dan RTK Antibodi (RTK Ab) pada kadar RM50 di Semenanjung.

Menurut Dr Adham, harga siling RT-PCR di Sabah dan Sarawak pula ditetapkan pada RM200; rapid molecular (RM350); RTK-Ag (RM80) dan RTK Ab (RM70).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.