Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.

Kerajaan tegas tidak bawa masuk pekerja asing walaupun berlaku kekurangan pekerja

[email protected]

Seri Kembangan: Kerajaan menyedari berlaku kekurangan ramai pekerja asing sewaktu pandemik Covid-19 yang menggusarkan sektor industri tertentu khususnya perladangan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, namun buat masa ini keputusan tegas kerajaan adalah tidak membenarkan pekerja asing dibawa masuk ke negara ini.

Beliau berkata, senario itu perlu dilihat dengan berhati-hati disebabkan membabitkan keselamatan yang pada sama keperluan.

“Fakta memang berlakunya kekurangan yang besar pembekalan pekerja asing. Pada awal 2020 pekerja asing sah yang direkodkan adalah seramai 1.7 juta.

“Ramai daripada mereka sudah meninggalkan negara ini untuk pelbagai sebab dan yang tinggal adalah kira-kira 1.2 juta pekerja asing sah bekerja di negara ini.

“Saya sudah maklumkan kepada pemain industri bahawa mereka perlu berikan keutamaan kepada pekerja tempatan, saya takkan kompromi perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah kilang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, sewaktu pandemik ini pada masa sama kerajaan perlu adil juga kepada industri yang memerlukan pekerja.

Saravanan berkata, ini kerana masih banyak kerja kosong belum diisi atas sebab ada beberapa pekerjaan tidak berminat untuk diisi oleh pekerja tempatan.

“Keadaan luar biasa (pandemik) sepatutnya (pekerja tempatan) terimalah apa sahaja pekerjaan ketika ini.

“Apa pun buat masa sekarang kita tidak lagi bawa masuk pekerja asing. Kita fokus untuk menurunkan lagi 4.7 peratus kadar pengangguran ketika ini.

“Saya melihat senario ini dengan berhati-hati. Sektor yang saya lihat secara serius antaranya dalam sektor perladangan sebab antara yang menyumbang banyak dalam eksport ke luar negara seperti minyak kelapa sawit, tetapi berlaku kekurangan pekerja asing,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini kabinet dan jawatankuasa khas luluskan 32,000 pekerja asing secara prinsipnya untuk memenuhi sektor perladangan sahaja, bukan sektor lain.

Tetapi, katanya, Malaysia tidak akan membawa pekerja asing masuk buat masa ini sehingga pasti negara pembekal dan negara ini sudah dalam keadaan selamat daripada pandemik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.