SIBU: Seorang kerani akaun berusia 37 tahun kerugian RM101,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam kononnya mempunyai tunggakan bil telefon pada 18 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata mangsa yang tinggal di kawasan perumahan di Jalan Satria di sini, menyedari dirinya ditipu selepas membuat 12 kali transaksi pembayaran ke enam akaun bank dimiliki individu berbeza.
“Kejadian bermula pada jam 8.30 pagi 18 Mei lalu apabila mangsa menerima panggilan seorang lelaki mendakwa pegawai Telekom Malaysia dan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan bagi nombor telefon 09-5136911 di Kuantan, Pahang berjumlah RM537.45,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihubungkan kepada seorang anggota polis dikenali sebagai Sarjan Johari yang membuat semakan dan mendapati mangsa terbabit kes pengubahan wang haram.
Katanya, mangsa turut menerima panggilan seorang lagi anggota polis Sarjan Albert Lai yang memaklumkan pihak mereka akan membuat siasatan.
“Tidak cukup dengan itu, sindiket penipuan terbabit terus memberikan tekanan kepada mangsa dengan menghantar mesej menerusi seorang lelaki dikenali sebagai Tuan Ling yang memberitahu pihaknya ada menghantar satu surat notis perintah penangkapan dan pembekuan aset atas nama pengadu.
“Lelaki itu kemudian menghantar satu lagi notis kononnya daripada Jabatan Audit Negara yang memaklumkan mangsa perlu membuat pembayaran RM12,800 untuk pihak mereka menyiasat sama ada wang itu haram atau sebaliknya.
“Susulan itu, mangsa membuat enam transaksi pembayaran masing-masing sebanyak RM12,800; RM50,000; RM5,000; RM18,500; RM10,000 dan RM4,700 ke dalam akaun diberikan sindiket berkenaan,” katanya.
Jonathan berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Balai Polis Sentral Sibu pada kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian