Kes mahkamah dalam talian atau tangguh sepanjang ‘lockdown’

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memaklumkan prosedur untuk prosiding mahkamah ketika tempoh ‘lockdown.’

PETALING JAYA: Semua perbicaraan dan prosiding yang dijadualkan di mahkamah untuk tempoh ‘lockdown’ dua minggu ini sama ada akan didengar secara dalam talian atau ditangguhkan, kata Mahkamah Persekutuan.

Ketua Pendaftar Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata dalam satu pekeliling, kes akan ditangguhkan bagi yang telah ditetapkan tarikhnya, manakala beberapa prosiding akan dibenarkan untuk kes sivil tertentu sejajar dengan garis panduan am sedia ada.

Pihak-pihak yang bimbang penggunaan teknologi maya akan menjejaskan keadilan perbicaraan mereka boleh membuat permohonan untuk menangguhkan kes atas alasan berkenaan.

Bagaimanapun, tuduhan baharu dan permohonan reman tetap akan dilakukan di mahkamah seperti biasa.

Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Pemfailan kes sivil dan jenayah baharu, notis rayuan serta dokumen lain akan dilakukan menerusi aplikasi sedia ada, manakala pihak-pihak dinasihatkan mengelak perjumpaan secara fizikal ketika melakukan pengurusan kes.

Bagi ‘kes luar biasa’, permohonan untuk hadir secara fizikal untuk kes jenayah di mahkamah tinggi boleh dilakukan mengikut budi bicara mahkamah.

Ahmad Terrirudin berkata, peraturan itu terpakai sepanjang fasa pertama ‘lockdown’ dari 1 hingga 14 Jun, dan terus berkuat kuasa jika tempoh berkenaan dilanjutkan Majlis Keselamatan Negara.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.