Kes naik mendadak, beberapa lokaliti di Labuan, Pahang, Sabah dikenakan PKPD

PETALING JAYA : Beberapa lokaliti di Labuan, Pahang, dan Sabah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di semua lokaliti terbabit berkuat kuasa sehingga 8 Jun ini, kecuali di Labuan iaitu 24 Jun.

Katanya, PKPD di lima sub-zon dalam Wilayah Persekutuan Labuan dilaksanakan selepas berlaku peningkatan kes secara mendadak.

“KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan bagi WP Labuan pada 23 Mei 2021 adalah 2.55 iaitu melebihi 2.00, yang berkemungkinan akan berlaku jangkitan dengan skala lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, PKPD Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu di Daerah Lipis, Pahang pula dilakukan selepas KKM mengesan 132 kes daripada tiga mukim itu hasil daripada keseluruhan 938 yang disaring.

“Mukim Budu mencatatkan 51 kes positif, Mukim Kuala Lipis 24 dan Mukim Penjom 57,” kata Ismail.

Bagi PKPD di Sabah, berlaku peningkatan kes melibatkan lokaliti seperti di Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau berlaku peningkatan kes selepas 21 kes positif direkodkan hasil daripada 282 ujian saringan yang dilaksanakan.

Sementara itu, di ladang FELDA Global Ventures (FGV) Kalabakan Selatan, Kalabakan, KKM melaporkan sembilan kes positif telah direkodkan hasil ujian saringan ke atas 47 orang di lokaliti tersebut.

PKPD di Kampung Sungai Imam, Tawau turut terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu di lokaliti ini.

“Sebanyak 17 kes positif direkodkan hasil daripada 57 ujian saringan.”

Sementara itu, PKPD di Felda Kahang Timur, Kluang, Johor yang dijadualkan tamat pada 25 Mei 2021 dilanjutkan sehingga 8 Jun berikutan penularan masih berlaku di lokaliti tersebut dan kes baharu juga direkodkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 1,092 ujian saringan dan 140 individu disahkan positif Covid-19 manakala 75 sampel saringan masih menunggu keputusan,” katanya.

Ismail berkata, kerajaan turut mengumumkan penamatan PKPD Felda Umas, Kalabakan, Sabah dan Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.