Kes positif COVID-19 menurun 20 peratus

[email protected]

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan penurunan kira-kira 20 peratus kes positif sepanjang tujuh hari minggu epid ke-22 berakhir Sabtu lalu, berbanding minggu epid sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebanyak 41,630 kes positif baharu dilaporkan sepanjang tempoh itu.

Katanya, purata kes aktif pula direkodkan sebanyak 81,461 berbanding minggu lalu, pengurangan sebanyak 0.6 peratus.

“Pengurangan kes ini dikesan bermula minggu epid ke-21 hingga ke-23.

“Kes kematian pula mencatatkan sebanyak 553 kematian, iaitu pengurangan sebanyak 13.7 peratus berbanding minggu epid ke-21.

“KKM juga merekodkan sebanyak 905 kes purata yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat 3.9 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga turut meningkat 4.1 peratus atau 454 daripada kes yang dirawat di ICU setakat 12 Jun lalu.

Beliau berkata, KKM merekodkan peningkatan enam peratus penggunaan katil hospital untuk rawatan pesakit COVID-19 iaitu sebanyak 11,542 digunakan di 101 hospital.

Setakat 12 Jun lalu, katanya, sebanyak 572,113 kes sudah sembuh sepenuhnya, iaitu 87.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 629,894 ujian COVID-19 dilakukan sepanjang minggu epi ke-23 berbanding minggu sebelumnya, berkurangan sebanyak 11.7 peratus.

Dr Adham berkata, sebanyak 2,462 kluster direkodkan setakat 12 Jun dengan 761 masih aktif.

“Sepanjang tujuh hari minggu epid ke-23, 154 kluster baharu dikesan dengan 107 (69.5 peratus) berkaitan tempat kerja.

“Dalam tempoh 13 Mei hingga 10 Jun 2021, sebanyak 60 kluster berkaitan perayaan direkodkan iaitu sebanyak 58 berkaitan Aidilfitri dan dua berkaitan Hari Gawai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.