KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini mengadakan sidang media mingguan perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dari rumah kerana perlu menjalani kuarantin wajib selepas menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.
Khairy yang mengadakan sidang media secara maya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, memaklumkan menjalani kuarantin bermula hari ini sementara menunggu keputusan ujian saringannya.
“Saya berada di rumah kerana perlu menjalani kuarantin bermula hari ini.
“Saya menjadi kontak rapat kepada satu kes positif COVID-19 dan sedang menunggu hasil ujian saringan yang dijangka diketahui hari ini,” katanya ketika memulakan sidang media maya itu, hari ini.
Dr Adham kemudian mencelah memaklumkan beliau juga perlu menjalani kuarantin sekiranya Khairy didapati positif COVID-19 kerana menjadi kontak rapat Menteri Penyelaras program imunisasi berkenaan.
“Kalau awak positif, saya kena juga (kuarantin). Saya doakan semoga negatif,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian