Kjaer hero sebenar selamatkan Eriksen

COPENHAGEN: Kapten Denmark, Simon Kjaer dianggap sebagai ‘hero’ susulan tindakan dilakukannya bagi menyelamatkan rakan sepasukan, Christian Eriksen yang rebah ketika aksi menentang Finland dalam kempen Euro 2020, awal pagi tadi.

Dia adalah pemain pertama yang memberikan rawatan awal kepada Eriksen bagi memastikan rakannya itu terus bernafas dan tidak mengalami situasi yang lebih buruk.

Sebelum doktor pasukan tiba, Kjaer memastikan Eriksen tidak dikerumuni dan mula melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), prosedur asas jika seseorang itu didapati mengalami serangan jantung.

Kapten Denmark itu ternyata tenang dalam melalui situasi genting yang hampir-hampir meragut nyawa rakan sepasukannya itu.

Dia juga bertindak menenangkan isteri Eriksen, Sabrina Kvist dalam situasi getir berkenaan.

Pakar kardiologi NHS, Dr Scott Murray mengesahkan apa yang dilakukan Kjaer adalah prosedur sebenar dan menyifatkan Eriksen bertuah kerana mempunyai rakan sepasukan yang dapat membantunya.

“Kita bertuah kerana pemain di atas padang tahu apa yang perlu dilakukan. Meletakkannya di kedudukan betul dan memastikan dia tidak tercekik dan kemudian memanggil pasukan perubatan,” katanya.

Kjaer juga mengarahkan rakan sepasukan lain membentuk formasi seperti tembok untuk menghalang kamera daripada merakam situasi Eriksen. – Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.