PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga produk kosmetik mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan sekiranya digunakan berterusan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, produk terbabit adalah Deeja Cosmetic Yulai Cream, Deeja Cosmetic Laila Cream, dan Deluxe Beauty – Ultra Lightening Cream Pearl Perfect Fairness, yang masing-masing mengandungi hidrokuinon, merkuri dan betametason 17-valerat.
“Notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.
“Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, produk yang mengandungi hidrokuinon dan betametason 17-valerat adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
“Produk kosmetik yang dicampur dengan hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.
“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” kata beliau.
Beliau berkata, produk yang mengandungi betamethasone 17-valerat boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, menyebabkan perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Merkuri dalam produk pula boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, tambah beliau.
“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak- kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.”
Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama, dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” kata beliau.
Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)