Knight Frank dilantik ejen jual kilang Panasonic

KUALA LUMPUR: Knight Frank Malaysia dilantik sebagai ejen pemasaran eksklusif untuk penjualan sel solar dan kilang pengeluaran panel Panasonic Solar Energy Malaysia di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

Perunding hartanah itu berkata pelantikan itu susulan pengumuman Panasonic Group berhubung rancangannya untuk menamatkan operasi pengeluaran di Jepun dan Malaysia.

“Kilang seluas 63 ekar (kira-kira 25.49 hektar) yang terletak di Zon Perindustrian Fasa 2 KHTP terdiri daripada kemudahan sedia ada, sebuah kilang satu tingkat yang dihubungkan bangunan pejabat dua tingkat dan bangunan utiliti lain dengan keluasan binaan dianggarkan 70,000 meter persegi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siap dibina pada 2013, kemudahan yang diselenggara dengan baik itu lengkapi dengan kapasiti elektrik yang tinggi, pembinaan lantai yang kemas dan sistem gas nitrogen yang sedia ada, kata Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Knight Frank Malaysia, Allan Sim.

Beliau berkata, kilang itu sesuai bukan sahaja untuk pengeluaran pembuatan berkaitan solar yang lain, tetapi juga boleh dikonfigurasikan semula dengan mudah untuk menampung penggunaan lain seperti elektrik dan elektronik, serta untuk bioteknologi dan penyelidikan dan pembangunan.

KHTP, yang kini berada dalam fasa keempat pengembangan, disokong oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), serta kerajaan negeri Kedah.

Dengan jumlah pelaburan langsung asing melebihi RM20 bilion pada 2020, fasa keempat KHTP akan menjadi pangkalan kepada banyak syarikat multinasional yang terkenal.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.