Kompaun tak kemas kini aplikasi MySejahtera perlu dibatal, kata Ismail

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob menyarankan pembatalan kompaun yang sudah dikeluarkan atas kesalahan itu.

KUALA LUMPUR: Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan kesalahan di bawah undang-undang termasuk Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Menteri Kanan Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Susulan keputusan itu beliau, menyarankan mana-mana kompaun yang sudah dikeluarkan atas kesalahan berkenaan, dibatalkan.

“Saya berharap dan menyarankan agar mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan.

“Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP.

Beliau mengakui timbul kekeliruan termasuk salah faham penggunaan aplikasi MySejahtera apabila ada anggota penguat kuasa mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal mengemas kini aplikasi itu.

Ismail turut memaklumkan, bagi mana-mana syarijat atau kilang yang beroperasi lebih masa, tindakan penguatkuasaan perlulah dibuat kepada majikan atau syarikat, bukannya pekerja.

“Kesalahan bukan dilakukan oleh pekerja kerana mereka terpaksa akur arahan majikan, maka tindakan kompaun boleh dikeluarkan kepada pihak syarikat, kilang atau majikan yang memberikan arahan.

“Begitu juga mana-mana syarikat yang masih menetapkan pekerjanya bertugas di tempat kerja atau datang ke pejabat biarpun ada arahan melaksanakannya di rumah (work from home), kompaun adalah kepada majikan juga,” katanya.

Ismail berkata, walaupun bukan kesalahan untuk tidak mengemas kini MySejahtera, semua pihak perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi itu.

“Ini kerana MySejahtera aplikasi yang dibangunkan oleh kerakaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk kita mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat tetapi yang lebih penting adalah melakukan kemas kini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu, bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit,” katanya.

Katanya, rakyat bukan hanya perlu jujur dalam meberikan maklumat berkaitan diri kita tetapi juga memegang amanah untuk memastikan setiap maklumat yang diberikan adalah tepat dan benar.

Ini termasuk sekiranya mempunyai gejala atau kaitan dengan mereka yang telah dijangkiti Covid-19.

“Segala salah faham dan kekeliruan yang timbul sebelum ini dapat ditambah baik dan saya juga mohon pemahaman semua pihak agar kita sama-sama berusaha untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.