KPDNHEP rampas 9,350kg minyak masak

[email protected]

PASIR MAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 9,350 kilogram minyak masak bernilai RM23,375 dalam serbuan di Kampung Rogayah, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri, berkata dalam operasi bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tumpat itu, pihaknya menggeledah sebuah stor simpanan yang disyaki menyimpan minyak masak berkenaan hasil risikan selama seminggu.

Katanya, seorang lelaki berusia 50-an turut ditahan dipercayai cuba menyeludup bekalan barangan berkenaan ke negara jiran, Thailand melalui jalan sungai di sepanjang Sungai Golok.

“Hasil siasatan, modus operandi bagi penyeludupan kali ini dengan menjadikan stor di sempadan negara yang berada di lokasi strategik iaitu laluan sungai sebagai tempat simpanan sementara dan seterusnya dibawa seludup ke negara jiran.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 196. Kami akan terus berusaha menjejaki dari mana punca bekalan diperoleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azanizam berkata, KPDNHEP Kelantan menjalankan sejumlah 683 pemeriksaan premis peniagaan bermula 1 Jun 2021 hingga semalam, bagi Pemeriksaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bawah Akta Kawalan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Melalui pemeriksaan terbabit, pihaknya menghasilkan 11 tindakan kes bawah Akta 342, antaranya pemilik premis gagal membuat penandaan bagi laluan keluar masuk premis dengan nilai kompaun RM10,000 bagi setiap kes,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.