Lagi pegawai polis dalam kes ‘Geng Nicky’ dilepaskan dengan jaminan

Semalam, media melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam dimaklumkan seorang pegawai polis yang turut ditahan mengikut SOSMA kerana disyaki mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow, sudah dibebaskan.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA dalam siasatan terhadap “Geng Nicky” dilepaskan semalam.

Peguam beliau, Gobind Singh Deo, berkata, pegawai berkenaan dilepaskan dengan jaminan polis.

“Sehubungan itu, kes menarik balik permohonan habeas corpus (penahanan salah) di Mahkamah Tinggi di sini, ditetapkan pada 11 Mei ini,” Berita Harian Online memetik Gobind sebagai berkata.

Pegawai itu memfailkan habeas corpus pada 30 April lalu, dengan menamakan pegawai polis, Superintendan Amran Mohd Jusin dan Ketua Polis Negara sebagai responden pertama serta kedua.

Berdasarkan afidavit sokongan difailkan bersama habeas corpus, beliau mendakwa ditahan di ibu negara, pada 26 April lalu, untuk siasatan membabitkan kes jenayah mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan dibaca bersama SOSMA.

Pegawai berkenaan mengatakan beliau tidak pernah terbabit dalam kes mengikut seksyen itu dan tahanannya di luar skop serta jangkaan Seksyen 130V Kanun Keseksaan dan SOSMA.

Pegawai polis itu juga memaklumkan penahanannya tidak sah dan bertentangan dengan Artikel 5, 8 dan 21 Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, media melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam dimaklumkan seorang pegawai polis yang turut ditahan mengikut SOSMA kerana disyaki mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow, sudah dibebaskan.

Peguam, Sreetheran Vallithan dipetik memaklumkan anak guamnya dibebaskan tiga hari lalu.

Sebelum ini, polis dilaporkan menahan 10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Pelican 3.0 Fasa 2 antara 21 hingga 26 April lalu.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, dipetik berkata semua penguat kuasa itu dipercayai bersekongkol dengan “Geng Nicky” diberkas sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, dan Negeri Sembilan.

Media sebelum ini melaporkan kebocoran maklumat menyebabkan suspek utama Nicky, melarikan diri daripada serbuan polis di Setia Walk, Puchong, Selangor.

Nicky Liow, 33, dipercayai mendapat maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas timbalan pendakwa raya.

Polis mengesyaki sekurang-kurangnya 34 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa melindungi kegiatan “Geng Nicky”.

Kumpulan itu disyaki mendalangi pelbagai sindiket jenayah terancang di dalam negara selain mempunyai jaringan antarabangsa.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.