Laksana ujian besar-besaran di titik panas HIDE, kata persatuan perubatan

Pusat membeli-belah utama merupakan antara premis tercatat dalam senarai HIDE yang dikeluarkan pada Sabtu.

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran dijalankan di seluruh negara di kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas bawah sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

Merujuk kepada pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai jangkitan komuniti yang tinggi, Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy berkata, ujian saringan bersasar secara besar-besaran boleh mengesan jangkitan awal dan menghalang penularan lebih luas virus tersebut.

“MMA percaya kes harian mungkin lebih tinggi kerana kita tidak menjalankan ujian secukupnya,” katanya dalam kenyataan.

“Kita tidak tahu takat sebenar jangkitan komuniti sehinggalah kita menyaring sebarannya dalam komuniti.

“Kita tidak harus menunggu sehingga orang ramai menunjukkan simptom. Sebaliknya kita perlu membuat saringan dan mengasingkan mereka yang positif serta-merta, sementara kontak rapat mereka dicari dan diuji.”

Subramaniam juga berkata, kerajaan harus menimbangkan untuk menjalankan ujian saringan secara besar-besaran bagi menyekat jangkitan di titik panas.

Beliau berkata, majoriti pekerja warga asing yang disaring sejak akhir tahun lepas bukan kontak rapat, namun susulan ujian yang dijalankan, sebilangan mereka didapati positif Covid-19.

Selain pusat membeli-belah, terminal pengangkutan yang sibuk, kedai runcit, pasar dan bazar Ramadan adalah antara 152 premis yang disebut dalam senarai HIDE pada Sabtu.

Semua premis ini diarah tutup bermula esok.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.