COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, berikutan perkembangan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 masih ‘rapuh’, perjalanan antarabangsa perlu dielakkan.
Menurut WHO, masih ada harapan kerana vaksin yang diberi kelulusan berkesan terhadap varian yang membimbangkan.
“Sekarang ini, dalam berdepan dengan ancaman berterusan dan ketidaktentuan baharu, kita perlu terus berwaspada dan berfikir semula atau mengelak perjalanan antarabangsa,” kata Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge, sambil menambah jumlah peningkatan jangkitan di sesuatu benua boleh merebak dengan cepat.
Memberi contoh varian berasal dari India yang memiliki kebolehjangkitan yang tinggi, ia dikesan berada di sekurang-kurangnya 26 dari 53 negara di wilayah Eropah WHO, kata Kluge pada sidang media mingguan.
Kluge berkata, vaksin yang diberi kelulusan berkesan terhadap strain baharu.
“Kesemua varian virus COVID-19 yang muncul setakat ini bertindak balas terhadap vaksin yang diluluskan,” katanya.
Beliau menambah, semua varian COVID-19 boleh dikawal dengan langkah kesihatan awam dan sosial sama seperti yang diamalkan sekarang.
Setakat ini, hanya 23 peratus penduduk di wilayah berkenaan menerima satu suntikan dos vaksin.
Sebanyak 11 peratus sahaja yang sudah menerima dua dos suntikan, kata Kluge yang turut mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada.
“Vaksin adalah harapan ketika ini, tetapi kita janganlah lalai,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian