Lebih 100 kematian, PBB bincang konflik Israel-Palestin pada Ahad

Gaza: Israel terus menambah serangannya ke atas Gaza namun, menafikan tenteranya sudah memasuki semenanjung itu.

Sehingga awal pagi ini, jumlah angka korban sudah mencecah 109 orang termasuk 29 kanak-kanak.

“Operasi darat memerlukan banyak persiapan, lebih pasukan,” kata wartawan menurut Al-Jazeera, Saftwat Al Kahlout yang memaklumkan tidak kelihatan pasukan dengan kereta kebal dan meriam ‘besar’ memasuki Gaza sehingga awal pagi.

Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel juga menafikan serangan darat sudah bermula, sebaliknya rejim itu menggandakan pertahanan di timur wilayah susulan ratusan roket dilepaskan dari Gaza.

Konflik berlarutan selama empat hari mengakibatkan lebih 580 orang cedera dan sekurang-kurangnya enam penduduk Israel terbunuh dan seorang warga India.

Lebih banyak keganasan dilapor berlaku antara penduduk Palestin dan kumpulan ekstrim Yahudi di beberapa bandar Israel.

Sementara tiga roket dipercayai dilepaskan dari selatan Lebanon ke atas Israel, namun tersasar ke Laut Mediterranean dan sumber Hezbollah menafikan ia mempunyai perkaitan dengan kumpulan syiah Lebanon.

Dalam pada itu, Duta Besar Amerika Syarikat bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas-Greenfield berkata, Majlis Keselamatan PBB akan bersidang pada 16 Mei (Ahad) untuk membincangkan situasi tegang yang berlaku antara Israel dan Palestin.

Pemimpin itu berkata demikian menerusi hantaran di Twitter dan memaklumkan Amerika Syarikat (AS) akan terus terbabit secara aktif dalam diplomasi peringkat tertinggi bagi mengurangkan ketegangan yang berlaku.

AS yang juga anggota tetap Majlis Keselamatan 15 negara, sebelum ini membantah perbincangan yang didesak diadakan secara terbuka, hari ini.

Sejak konflik berlaku Isnin lalu, majlis itu sudah mengadakan dua mesyuarat tertutup secara maya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.