PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyuarakan kebimbangan berhubung 82,341 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan individu berusia bawah 18 tahun, bagi tempoh antara 25 Januari hingga kelmarin.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 19,851 kes membabitkan bayi berusia bawah empat tahun.
Hisham berkata, bagi tempoh sama juga sebanyak 8,237 kes direkodkan membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan 26,851 kes dan 27,402 kes, masing-masing bagi individu berusia tujuh hingga 12 tahun serta 13 hingga 17 tahun,” katanya di Twitter.
Kata beliau, virus Covid-19 kini sudah berada dalam komuniti dan kanak-kanak perlu dilindungi dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP).
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, dilaporkan berkata pihak berkuasa boleh membuka kertas siasatan terhadap mana-mana ibu bapa yang ingkar kerana mendedahkan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun kepada Covid-19, dengan membawa mereka ke tempat berisiko, termasuk kawasan sesak.
Kertas siasatan itu boleh dibuka atas kesalahan melanggar SOP yang ditetapkan Majlis Kesihatan Negara (MKN), memandangkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tiada peruntukan pihak berkuasa boleh berbuat demikian.
Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)