Lembu dijangkiti penyakit kulit akan dimusnah segera

[email protected]

AYER KEROH: Lembu yang disahkan positif penyakit kulit kental atau berbonjol (LSD) akan dimusnahkan segera bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata selain itu, kandang atau ladang yang mempunyai haiwan ternakan dijangkiti virus terbabit pula akan diletakkan di bawah pengawasan rapi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sepanjang masa.

Katanya, langkah terbabit adalah untuk memastikan tiada ternakan yang dibenarkan dibawa keluar atau dijual sehingga memperoleh pengesahan serta kebenaran daripada JPV.

“Mana-mana pihak, termasuk penternak dan peraih ternakan yang didapati melanggar syarat serta arahan ini akan dikenakan tindakan di bawah Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bekalan buah-buahan serta selimut sumbangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Pejabat Parlimen Jasin menerusi Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin kepada penghuni Pusat Rawatan COVID Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah FAMA yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ghazale Muhamad dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Baru-baru ini, sebanyak 89 lembu di Perak dikesan dijangkiti LSD sebelum merebak ke Selangor, kelmarin yang menjangkiti lima lembu.

Susulan itu, JPV mengambil langkah memeriksa sebanyak 81,252 lembu di 9,108 ladang ternakan di seluruh negara bagi mengesan serta mencegah wabak itu daripada menular.

Ahmad berkata, pihaknya meminta JPV sentiasa mengawasi semua ladang ternakan lembu di seluruh negara bagi memastikan lokasi berkenaan bebas daripada sebarang jangkitan.

Pada masa sama, katanya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) juga akan melakukan ujian saringan di pintu sempadan terhadap semua lembu hidup yang diimport bagi memastikan haiwan itu benar-benar tidak berpenyakit sebelum dibenarkan dibawa masuk ke negara ini.

“Setakat ini kita hanya melakukan pemantauan terhadap lembu hidup, namun saya tidak menolak kemungkinan akan meluaskan lagi pemantauan serta pemeriksaan penyakit kepada daging segar yang diimport,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.