Letupan mungkin disebabkan cas elekrostatik

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyelidik menyifatkan letupan yang berlaku membabitkan sebuah kereta di Kota Bharu, Kelantan berpunca dari kesan piroteknik, iaitu kehadiran bahan letupan dan juga pencucuh pembakaran pada waktu sama.

Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr Muhamad Husaini Abu Bakar, berkata kejadian itu boleh berlaku apabila pencucuh pembakaran bersifat serentak dengan tindakan berangkai, bagi bahan letupan yang berlaku dalam masa yang singkat.

“Oleh sebab proses pencucuhan hampir serentak, tenaga yang dihasilkan oleh bahan bakar dilepaskan dalam waktu yang singkat sekali gus menyebabkan kesan letupan berlaku.

“Kejadian seperti ini pernah berlaku di Devon, United Kingdom pada tahun 1998, tempat simpanan mercun atau bunga api meletup. Tempat simpanan ini diperbuat daripada besi dan sering digunakan untuk mengangkut bahan letupan seperti mercun,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian seorang lelaki maut dalam kenderaan yang dipandunya meletup di Kampung Sireh, Kota Bharu kelmarin dipercayai akibat membawa mercun bola.

Dalam kejadian jam 5.38 petang, mangsa Wan Hassan Wan Ali, 49, maut di tempat kejadian, manakala lima kenderaan lain turut terbakar.

Husaini berkata, lima kereta berdekatan terbakar disebabkan kesan dari letupan pemula yang disebabkan oleh kereta yang membawa mercun atau sebarang sumber letupan.

“Persoalan yang timbul bagaimanakah pencucuh boleh berlaku dalam waktu hampir serentak?

“Jawapannya mungkin dari cas elektrostatik yang terkumpul di dalam kereta. Cas ini secara komulatif akan menyebabkan kebarangkalian terjadinya sambaran kilat,” katanya.

Beliau berkata, sambaran kilat ini membolehkan berlakunya percikan api termasuk bahagian simpanan mercun, boleh mengakibatkan pembakaran bermula dengan hampir serentak.

Katanya, pencucuhan serentak ini mengakibatkan letusan menjadi besar dan membebaskan tenaga yang tinggi dalam waktu yang singkat.

“Risiko cas elektrostatik ini makin tinggi sekiranya banyak permukaan kereta terdedah. Dalam erti kata lain, cat yang melindungi kereta sudah terlalu nipis dan cas mula berkumpul pada permukaan kereta. Cas pada permukaan inilah yang meningkatkan kebarangkalian disambar,” katanya.

Beliau berkata, penyimpanan dan proses pengangkutan bahan letupan sekiranya tidak diuruskan dengan baik sangat berbahaya kerana suhu dan cuaca di Malaysia beriklim tropika yang mempunyai kebarangkalian cuaca buruk yang tinggi dan akan mengundang perkara di luar kawalan seperti petir.

“Elakkan merokok semasa pemanduan, terutama sekali ketika membawa bahan yang mudah terbakar kerana percikan api sedikit berpotensi memulakan letupan besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.